Kereta F1 Pertama Bawa Schumacher Menang GP Dijangka Dilelong Lebih RM5 Juta

Kereta F1 Pertama Bawa Schumacher Menang GP Dijangka Dilelong Lebih RM5 Juta

Sebuah jentera Formula Satu (F1) yang mencatat sejarah sebagai kereta pertama membawa Michael Schumacher meraih kemenangan Grand Prix dijangka dilelong pada harga melebihi £7 juta, bersamaan kira-kira RM5.46 juta.

Kereta Benetton B192-05 itu dipandu oleh Schumacher ketika beliau menjuarai Grand Prix Belgium 1992, kemenangan sulung dalam karier F1 legenda dari Jerman tersebut. Perlumbaan yang berlangsung di litar Spa-Francorchamps itu diadakan dalam keadaan hujan lebat dan menjadi titik permulaan kepada era dominasi Schumacher dalam sukan berprestij berkenaan.

Sepanjang kerjayanya, Schumacher merangkul tujuh gelaran juara dunia serta mencatat 91 kemenangan perlumbaan, satu rekod yang kekal selama lebih sedekad. Jentera bersejarah itu kini disenaraikan untuk dilelong dalam acara Global Icons: Europe Online, yang akan bermula pada 23 Januari, dengan anggaran harga mencecah £7.38 juta.

Wakil Broad Arrow Auctions, Yves Boitel, menyifatkan kereta tersebut sebagai antara jentera paling ikonik dalam sejarah F1. Menurutnya, selain melambangkan permulaan karier luar biasa Schumacher, ia juga menandakan penghujung era kegemilangan penggunaan kotak gear manual di peringkat tertinggi sukan permotoran.

Schumacher, yang kini berusia 57 tahun, tidak pernah tampil di khalayak ramai sejak mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan ketika bermain ski pada 2013. Dalam insiden itu, beliau terjatuh dan kepalanya terhantuk pada batu ketika bermain ski di kawasan luar laluan, namun diselamatkan kerana memakai topi keledar keselamatan.

Pihak perubatan memaklumkan beliau berkemungkinan besar maut sekiranya tidak memakai kelengkapan tersebut. Schumacher kemudian diterbangkan ke Hospital Grenoble, Perancis, dan menjalani dua pembedahan sebelum dikeluarkan daripada koma pada Jun 2014.

Bekas pemandu Ferrari dan Mercedes itu seterusnya dibenarkan pulang ke kediamannya di Gland, Switzerland, bagi meneruskan proses pemulihan. Insiden tragis berkenaan berlaku hanya setahun selepas beliau mengumumkan persaraan daripada F1 pada 2012.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD