Perodua QV-E: Hanya 20 Unit Sahaja di Daftar. Data JPJ Sangat Mengejutkan!

Perodua QV-E: Hanya 20 Unit Sahaja di Daftar. Data JPJ Sangat Mengejutkan!
(Gambar daripada PAULTAN.ORG)

Pada 12 Disember 2025 yang lalu, saya telah berbincang panjang lebar secara peribadi mengenai keraguan terhadap konsep sewa bateri kereta elektrik yang diperkenalkan sewaktu pelancaran Perodua QV-E.

Adakah tindakan drastik Perodua menambah cawangan tempahan daripada 9 kepada 34 buah dalam masa kurang tiga minggu selepas pelancaran (1 Disember) adalah kerana mendapat “sambutan luar biasa,” ataupun ianya adalah ‘Panic Button’ atau operasi ‘Damage Control’ yang tersusun.

Hari ini, 12 Januari 2026, data rasmi kerajaan telah dikeluarkan.

Fakta: Pendaftaran Rasmi JPJ

Saya merujuk kepada portal data terbuka rasmi kerajaan Malaysia, data.gov.my, yang memaparkan data pendaftaran kenderaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga 31 Disember 2025.

Gambar rajah carta populariti yang saya sertakan ini menunjukkan angka yang sangat mengejutkan:

  • Perodua QV-E: Hanya 20 unit pendaftaran di seluruh negara pada bulan Disember 2025.
  • Proton e.MAS 5: Sebagai perbandingan, pesaing terdekat mencatatkan 169 unit pendaftaran pada bulan yang sama.
  • Proton e.MAS 7: Manakala e.Mas 7 pula mendahului sebanyak 937 unit pendaftaran pada bulan yang sama.

Bagaimanapun jumlah keseluruhan Perodua QV-E yang telah didaftarkan adalah 38 unit, 20 unit pada December dan baki 18 unit lagi pada November 2025 iaitu sebelum tarikh perlancaran. Dan 18 unit ini kita boleh katakan itu adalah pendaftaran untuk unit-unit ‘test drive’ yang telah diedar ke cawangan-cawangan Perodua sebelum perlancaran. Jadi angka 20 unit ini sangat rendah untuk sebuah jenama gergasi seperti Perodua, yang biasanya menjual ribuan unit model baharu dalam tempoh seminggu sahaja.

(Gambar daripada automachi)

Analisis ‘Panic Button’: Di Mana Logiknya?

Di sinilah logik industri automotif perlu digunakan.

Perodua adalah syarikat yang dikawal selia dengan sangat teliti. Jika jualan mereka meledak, mereka akan umumkan serta-merta untuk tujuan pemasaran. Kebisuan mereka mengenai angka QV-E adalah menjadi ‘clue’ terbesar pada persoalan kita.

  1. Sasaran vs Realiti: Perodua mensasarkan 500 unit jualan sebulan. Jadi angka 20 unit pendaftaran Disember 2025 menunjukkan kegagalan besar untuk mencapai sasaran awal. (Tetapi prestasi sebenar kita perlu lihat pada suku pertama 2026 nanti).
  2. Pengalaman saya sebagai Sales Advisor: Untuk melatih SA di 34 cawangan baharu, mereka memerlukan masa 1-2 minggu. Sedangkan keputusan untuk menambah cawangan pula dibuat pada minggu pertama Disember, sebaik sahaja pengurusan melihat angka 48 jam pertama yang kurang memberangsangkan. Jadi, keputusan untuk menambah cawangan ini mungkin bukanlah perancangan strategik dari awal, tapi langkah ini diambil serta-merta setelah sedar kurangnya sambutan dan angka tempahan, atau ‘Panic Button’!
  3. Registration vs Booking: Pendaftaran 20 unit itu besar kemungkinan adalah unit pandu uji (test drive unit) dan unit pameran (showroom unit) untuk 9-10 cawangan perintis yang didaftarkan pada saat-saat akhir tahun 2025. Jadi berapa jualan kepada pelanggan sebenar (retail sales) belum kita ketahui. Adakah ianya 5, 10 atau 15 unit sahaja?

Adakah Malaysia ‘Reject’ Konsep Sewa Bateri EV seperti QV-E?

(Gambar daripada automachi)

Angka 20 unit ini mungkin boleh jadi satu bukti bahawa pasaran Malaysia, khususnya segmen ‘mass market’ Perodua, telah ‘menolak’ model perniagaan seperti Battery-as-a-Service (BaaS), atau sistem sewa bateri RM275 sebulan.

Kenapa? Apa Punca?
Teori Awam: Walaupun harga kereta itu nampak murah (RM80,000), tapi komitmen bayaran bulanan yang berpanjangan telah membunuh minat pembeli yang mahukan pemilikan penuh. Pembeli Perodua mahukan kemudahan dan nilai jualan semula yang tinggi, bukan risiko jangka panjang.

Pendapat Peribadi Saya: TIDAK. Saya masih berpendirian bahawa konsep Battery-as-a-Service (BaaS) ini memang ada asasnya dan konsep ini bukanlah yang pertama kali di dunia. Tetapi mungkin kurangnya adalah disebabkan strategi komunikasi dan bagaimana mereka memberi pencerahan pada orang ramai yang keliru, dan bagaimana Perodua melawan persepsi negatif yang tidak betul yang tersebar cepat di media sosial.

Perodua QV-E adalah sebuah kereta yang sangat baik bagi saya, cuma ‘Marketing Department’ Perodua juga harus tahu dan faham tentang teknikal kereta ini, supaya boleh jawab tentang kekeliruan dan persoalan orang ramai.

Walau bagaimanapun, saya percaya angka 38 unit pandaftaran Perodua QV-E ini dijangka akan meningkat pada suku pertama 2026 nanti jika strategi pemasaran Perodua diubah dengan mengambil pendekatan berbeza, tambahan lagi dengan adanya usaha kerajaan untuk memberi pelbagai pengecualian cukai terhadap EV untuk unit pemasangan tempatan (CKD) hingga hujung 2027. Tetapi data rasmi kerajaan setakat ini telah membuktikan, strategi EV pertama Perodua ini menghadapi cabaran yang sangat besar.

Sumber: data.gov.my.

  1. Bagi saya, BaaS service tu bagus for long-term dan lepas 9 tahun akan datang bila bateri kereta memang dah turun ke 70% dan user ingin nak tukar ke bateri baru tanpa bayar bateri sekaligus.

    Tapi untuk permulaan, lagi² bila kalau buat kiraan harga dia jadi 110k bila dah habis bayar kereta dan bateri 9 tahun (kecuali kalau jual kereta awal sebelum lease habis 😅), kereta yang harga sama dengan teknologi dan warranti yang sedia ada nampak jauh lagi berbaloi (BYD Atto 2, Dolphin, M6, Proton e.Mas 7, Leapmotor B10 (soon)).

  2. Salam Naz, saya terpanggil nak komen pasal Perodua QV-E ni. Ada beberapa perkara yang saya rasa ramai salah anggap pasal EV Perodua ni.

    Pertama, QV-E bukan untuk segmen mass market. Sebab harga dan konsep BaaS. Jadi sasaran pembeli dia memang bukan tipikal pembeli Perodua. Even kalau tak ada BaaS pun dan harga masih kekal RM80k, jumlah pendaftaran JPJ terawal pun saya rasa takkan begitu banyak.

    Sebabnya ialah, ini EV pertama Perodua yang dibina dari kosong, bermakna Perodua sendiri belum ada keupayaan yang penuh dalam pembinaan EV, iaitu production line khas untuk pasang EV. Unit yang ada kt showroom dan yang dah didaftarkan tu saya rasa adalah unit pre-production, sebab saya dah tengok kt showroom dan nampak macam ada part yang unfinished terutama bahagian plastik. Perodua mungkin masih lagi fine tune proses pemasangan dan tooling komponen kereta EV ni. Lagipun pilot production baru mula sejak November 2025, masih terlalu awal untuk full scale production.

    Keduanya,kalau kita ingat Perodua dan Tan Chong ada sign Letter of Intent (LoI) untuk benarkan Perodua guna kilang TC untuk pasang QV-E. Tapi masih belum ada pengumuman rasmi pasal mass production QV-E kt kilang TC ni. Mungkin masih dalam perbincangan atau finalizing stage lagi, maksudnya perkara berkaitan pemasangan di kilang masih belum muktamad. Once MoU dah sign, barulah operasi pemasangan penuh unit customer akan bermula. Saya rasa lepas tu baru akan ada unit keluaran untuk customer, yang actual production unit.

    Saya rasa Perodua sendiri dah tahu yang EV ni takkan laku keras macam model Perodua yang lain, jadi mereka guna pendekatan sewa kilang Tan Chong untuk pemasangan QV-E berbanding bina kilang baru atau upgrade kilang sedia ada. Lagipun kilang sedia ada dah over capacity, tak ada ruang cukup untuk tambah satu lagi production line untuk QV-E apatahlagi pemasangan EV ni tak sama prosenya dengan pemasangan kereta ICE jadi tak boleh nak kongsi line yang sama dengan model macam Myvi atau Alza. Sebab Tan Chong dah ada kepakaran dan kelengkapan untuk pasang EV, jadi Perodua pilih kilang TC untuk pemasangan. Cuma sekarang masih belum ada pengumuman rasmi.

    Seterusnya, sasaran 500 unit tu adalah sasaran pengeluaran, bukan sasaran jualan. Setakat ni Perodua tak ada buat unjuran angka jualan lagi. Saya rasa kita perlu tunggu data JPJ untuk bulan Januari atau Februari 2026 baru boleh buat andaian sama ada Perodua QV-E ni boleh jual atau tidak atau tunggu jika Perodua ada buat pengumuman berkenaan jumlah tempahan QV-E ni dalam bulan Januari.

    Sekian pandangan saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pilih Jenama Kereta

© 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD