Seorang warga Thailand maut dalam kemalangan apabila sebuah bas ekspres merempuh kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya dari arah belakang di Kilometer 14, Jalan Pekan–Kuantan awal pagi semalam.
Insiden kira-kira jam 1.15 pagi itu melibatkan sebuah Mitsubishi Triton dan sebuah bas ekspres yang membawa 24 penumpang bersama seorang pemandu simpanan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 29 tahun sedang dalam perjalanan dari Pulau Serai menuju ke Kuantan.
Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat lokasi kejadian, kenderaan tersebut berhenti sebelum dirempuh kuat dari arah belakang oleh bas ekspres yang datang dari laluan sama.
Akibat pertembungan itu, seorang penumpang di bahagian belakang pacuan empat roda, dikenali sebagai Hosneeamree, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Mangsa merupakan warga Thailand yang bekerja sebagai buruh di negara ini.
Pemandu kenderaan, Muhammad Shafwan Abdullah Aziz, 29, bersama seorang lagi penumpang hadapan, Mohamad Asri Mohamad Yusoff, 36, mengalami kecederaan pada bahagian perut serta kepala. Kedua-duanya kemudian dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
Supt Zaidi turut mengesahkan seorang penumpang bas mengalami kecederaan ringan dalam nahas tersebut, manakala penumpang lain dilaporkan selamat.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau dalam kenyataan semalam.
Sumber: Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?