Isu geopolitik yang tidak menentu, terutamanya konflik Iran-US yang masih belum menemui jalan penyelesaian, membuatkan ramai pengembara kini lebih selesa memilih percutian di rantau Asia.
Menariknya, agensi-agensi pelancongan tempatan melaporkan bahawa China kini menjadi antara destinasi paling popular dan mendapat permintaan tinggi. Namun, melancong ke negara Tembok Besar ini perlukan persediaan yang berbeza.
Jika anda mempunyai rancangan untuk bercuti di China, artikel ini adalah bacaan wajib anda sebagai panduan persediaan sebelum terbang.
Jangan samakan percutian ke bandar metropolitan seperti Shanghai atau Beijing dengan percutian ke negara Eropah mahupun Jepun. Sistem harian, teknologi, dan gaya hidup di negara Tembok Besar ini jauh ke hadapan dan sangat berbeza.

Tidak seperti melancong ke Eropah atau Jepun di mana anda mungkin selesa meninggalkan pasport di dalam bilik hotel untuk mengelakkan seluk saku, keadaan di sini berbeza. Anda diwajibkan membawa pasport ke mana-mana sahaja sebagai pengenalan diri rasmi.
Berita baiknya, kadar jenayah seluk saku di sana sangat rendah kerana pelaksanaan undang-undang mereka yang amat ketat. Jadi, anda boleh berasa lebih selamat untuk membawanya bersama.

Ini realiti yang anda perlu terima, di China, sangat sukar untuk mencari peniaga yang masih menerima pembayaran menggunakan wang tunai. Anda wajib memuat turun aplikasi Alipay, yang berfungsi sebagai e-wallet utama di sana.
Daripada urusan menahan kereta sewa Didi (sama seperti Grab), membeli air di tepi jalan, sehinggalah kepada peminta sedekah, semuanya menggunakan imbasan kod QR melalui Alipay atau WeChat Pay.
Jika anda masih ingat perkongsian dalam artikel semalam, kami ada menyatakan bahawa masyarakat di China menjadikan WeChat sebagai platform utama yang mengintegrasikan sistem komunikasi dan ekosistem kewangan harian mereka.
Oleh itu, selain Alipay, pelancong juga amat digalakkan untuk mengaktifkan WeChat Pay bagi melancarkan urusan transaksi sepanjang percutian.

Halangan bahasa adalah cabaran terbesar jika anda bercuti ke China. Majoriti penduduk tempatan tidak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Lebih memeningkan, kebanyakan papan tanda dan aplikasi menggunakan tulisan karakter yang anda tidak boleh eja atau baca secara rawak.
Oleh itu, telefon pintar anda berfungsi sebagai penterjemah sepanjang masa. Pastikan bateri telefon sentiasa penuh dan bawalah powerbank berkapasiti besar ke mana sahaja.

Jangan hanya terpedaya dengan rekaan hotel yang cantik tetapi terletak jauh dari pusat bandar. Jika anda melancong secara persendirian, pastikan hotel anda berdekatan dengan stesen pengangkutan awam atau deretan kedai.
Ini bagi mengelakkan anda terkandas menyewa pengangkutan jika ingin keluar mencari makan atau bersiar-siar pada waktu malam, membolehkan anda sekadar berjalan kaki pulang dengan selamat.

Aplikasi yang anda guna setiap hari di Malaysia kebanyakannya tidak berfungsi atau kurang tepat di sana. Untuk terus bertahan, telefon anda perlu ada aplikasi Baidu Map (untuk peta yang tepat), Alipay, dan WeChat.
Jangan lupa juga untuk memuat turun Google Translate siap-siap beserta fail bahasa (offline translation) supaya anda boleh menggunakannya tanpa sambungan internet yang kuat.

Memandangkan banyak aplikasi dari luar disekat, anda perlu membuat persiapan teknikal dengan memuat turun rangkaian persendirian maya (VPN) yang boleh dipercayai sebelum berlepas.
Walaupun penggunaannya tidak digalakkan atau secara rasminya diharamkan di sana, ia adalah satu-satunya jalan keluar untuk anda terus berhubung dengan dunia luar atau menggunakan aplikasi penting pada waktu kecemasan.

Ini adalah amaran paling besar. Perkara paling nombor satu dan paling wajib yang anda kena ada sebaik menjejakkan kaki ke negara tersebut adalah pelan perayauan data (roaming) yang stabil atau akses internet alternatif.
Tanpa sambungan internet yang lancar, aplikasi seperti Alipay, Baidu Map, dan Google Translate di dalam telefon anda tidak akan berfungsi, dan ini pasti akan membuatkan anda menangis di negara orang.
Sumber: Terpaling Travel
Kalau anda mahu lebih banyak tips travel yang menarik, jangan lupa follow @terpalingtravel di TikTok!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?