Ferrari Hypersail Didedahkan, Evolusi Teknologi Lautan Yang Mencedok DNA Hypercar!

Ferrari Hypersail Didedahkan, Evolusi Teknologi Lautan Yang Mencedok DNA Hypercar!

MARANELLO, 21 April 2026 – Sempena penganjuran Milan Design Week, Ferrari Hypersail telah mendedahkan identiti visual livery bagi monohull lautan berteknologi foiling sepanjang 100 kaki mereka yang bakal melakar sempadan baharu dalam pelayaran lautan.

Projek inovasi ekstrem ini tercetus daripada proses kreatif yang menggabungkan bahasa estetik jenama Maranello dengan teknologi pelayaran luar pesisir yang paling termaju. Pencapaian luar biasa ini merupakan hasil cetusan kolaborasi bersepadu melalui platform inovasi terbuka yang dijayakan oleh Ferrari Tech Team di bawah pimpinan Matteo Lanzavecchia dan Marco Guglielmo Ribigini, Ferrari Design Studio yang diterajui oleh Flavio Manzoni, serta arkitek tentera laut terkemuka, Guillaume Verdier.

Seperti yang sering ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NAZZ&CO Media, Nazz Abdullah, transisi berani ini membuktikan bahawa kejuruteraan automotif kelas hiper kini tidak lagi terhad di litar lumba, sebaliknya telah mula merevolusikan dinamik dan aerodinamik ekstrem di atas permukaan lautan.

Reka Bentuk Didorong Prestasi Dan DNA Jentera Le Mans

Dalam pembinaan Ferrari Hypersail, reka bentuknya sama sekali bukan sekadar kosmetik estetik, sebaliknya ia adalah tindak balas langsung kepada fungsi di mana setiap inci isipadu terhasil daripada pertembungan antara angin, air, dan kelajuan. Menariknya, siluet kapal gergasi ini mencedok keaslian perkadaran model ikonik Ferrari Monza SP1 dan SP2, manakala reka bentuk binaan bumbung dek (coachroof) mengambil inspirasi struktur grafik terus daripada jentera pemenang Le Mans, Hypercar 499P.

Ketua Pegawai Rekaan Ferrari, Flavio Manzoni menyifatkan cabaran kompleks ini sebagai satu peluang keemasan untuk meluaskan penyelidikan kreatif mereka di luar kebiasaan. Bukti kejuruteraan tahap tinggi ini dapat dilihat pada panel solar bersepadu yang diletakkan di atas dek dan sisi badan kapal, di mana ia telah direka khusus dengan sistem cengkaman membolehkan ia dipijak tanpa menjejaskan kebebasan pergerakan krew. Menurut Ketua Kejuruteraan Kenderaan Ferrari, Matteo Lanzavecchia, kelajuan kapal ini disokong oleh kawalan foiling canggih yang dijana menerusi pemulihan tenaga boleh diperbaharui seperti angin, solar, dan pergerakan.

Evolusi Warna Nuovo Giallo Fly Dan Gentian Karbon Grigio

Bagi menonjolkan warisan estetik jenamanya, Ferrari Design Studio telah memilih rona Nuovo Giallo Fly sebagai warna utama projek rintis ini. Sejarah merakamkan bahawa warna kuning sentiasa menjadi “jiwa kedua” Ferrari, sebuah inspirasi yang asalnya diadaptasi daripada warna helmet pelumba legenda Luigi Musso sebelum ia dipakaikan pada jentera 275 GTB.

Untuk projek ini, penggunaan nama Fly telah dikaitkan secara langsung dengan sifat foiling kapal tersebut yang seolah-olah terbang di atas air. Material utama yang menyaluti badan kapal ini adalah gentian karbon berprestasi tinggi dalam rona kelabu baharu yang dinamakan Grigio Hypersail, yang tidak hanya menyerlahkan rupa paras agresif tetapi juga menawarkan tahap keringanan maksimum. Gabungan mantap antara kelabu Grigio dan kuning Nuovo Giallo Fly ini membangkitkan nostalgia corak pengasingan warna pada model 512 BB. Malah, logo huruf “F” memanjang yang diambil dari jentera F1 dan Daytona SP3 turut disematkan pada layar utama kapal, bersama-sama dengan garisan perincian tajam yang dikongsi daripada reka bentuk LaFerrari dan F80

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD