Zeekr Intelligent Technology Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model kemas kini bagi SUV elektrik premium kompak mereka, Zeekr X 2026.
Bertemakan slogan global “Boldly Yours,” jentera ultra-moden ini menerima penambahbaikan ketara dari segi penawaran ciri standard, praktikaliti ruang, serta pilihan estetik baharu yang disasarkan buat warga kota dengan gaya hidup aktif.
Untuk pasaran Malaysia, Zeekr terus menawarkan dua pilihan varian utama.
Varian asas Zeekr X Premium RWD ditawarkan pada harga RM158,800, manakala varian spesifikasi tertinggi Zeekr X Flagship AWD pula boleh dimiliki pada harga RM175,800.

Dari segi rangkaian kuasa, varian Premium RWD dipacu oleh motor tunggal di gandar belakang yang menjana kuasa sekuat 250 kW (340 PS) dan tork maksima 373 Nm.
Padanan ini membolehkan ia menawarkan jarak gerak sehingga 445 km mengikut kitaran WLTP, serta dilengkapi sistem pengecasan dalaman (onboard) 11 kW AC.
Menjengah ke dalam kabinnya, varian ini menampilkan rekaan dalaman dwi-ton putih-hitam, paparan dongak (HUD), serta rekaan rim Paddle Wheels baharu bersaiz 19-inci.
Zeekr turut memperkenalkan pilihan warna badan eksklusif baharu untuk varian ini iaitu Porcelain Pink.

Bagi yang mahukan prestasi pemanduan lebih agresif, varian Flagship AWD hadir dengan konfigurasi dwi-motor pacuan semua roda yang menghasilkan kuasa gergasi 365 kW (496 PS) dan tork maksimum 573 Nm.
Di atas kertas, jentera ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa pantas 3.7 saat sahaja!
Di sebalik prestasi padu itu, ia masih menawarkan jarak gerak WLTP yang munasabah sehingga 415 km, manakala sistem pengecasan domestik pula dinaik taraf kepada 22 kW AC.
Kelebihan lain pada varian Flagship termasuklah kehadiran tempat duduk hadapan dengan fungsi liang udara serta sistem urutan, rekaan kabin bertemakan warna hitam dengan padanan tali pinggang keledar merah, serta rim aloi tempa Black Forged Wheels bersaiz 20-inci.
Dua warna badan eksklusif turut ditawarkan iaitu Onyx Black dan Matte Khaki Green.

Penambahbaikan terbesar untuk Zeekr X model tahun 2026 adalah pengenalan beberapa ciri mewah yang kini diposisikan sebagai kelengkapan standard untuk kedua-dua varian.
Antara fungsi menarik yang bakal dinikmati pengguna termasuklah sistem pintu hadapan automatik yang boleh terbuka sendiri secara elektrik, serta tiang-B interaktif pintar yang menawarkan paparan maklumat unik di luar kenderaan.
Selain itu, reka bentuk konsol tengah kini memuatkan peti sejuk terbina dalam yang bukan sahaja boleh menyejuk sehingga suhu -6°C, malah boleh bertukar fungsi menjadi pemanas sehingga suhu 50°C untuk mengekalkan kehangatan kopi atau pastri anda sepanjang perjalanan.
Aspek praktikaliti kargo turut dipertingkat dengan kapasiti but belakang yang kini lebih luas mencecah 404 liter bagi mempermudahkan urusan memuatkan beg sukan atau bagasi.

Untuk ekosistem pengecasan pantas di lebuh raya, Zeekr X 2026 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, yang membolehkan tahap pengecasan bateri diisi dari 10% hingga 80% dalam masa sekitar 30 minit sahaja.
Melihat kepada aspek keselamatan, Zeekr membekalkan 7 beg udara keselamatan serta pakej bantuan pemandu ADAS penuh yang merangkumi fungsi Front & Rear Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Lane Change, Lane Centering Control, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, Automated Parking Assist, dan Evasive Manoeuvre Assist.
Ciri-ciri premium lain seperti bumbung kaca panoramik dengan perlindungan haba, lampu hadapan LED dengan fungsi persembahan cahaya, pengecas peranti tanpa wayar 50W, serta sistem bunyi premium Yamaha dengan 13 pembesar suara turut ditawarkan secara standard.
Bagi memberikan ketenangan minda kepada pemilik, setiap pembelian didatangkan dengan waranti kenderaan selama 5 tahun atau 150,000 km, bersama waranti bateri serta komponen voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000 km.
Pemilik juga akan menerima perkhidmatan hubungan pintar secara percuma selama setahun dengan kuota data internet 6GB sebulan.
Menariknya, Zeekr Malaysia turut memperkenalkan program pembiayaan eksklusif dengan kerjasama Maybank dan Public Bank.
Menerusi program ini, pembeli diberikan fleksibiliti untuk membayar jumlah wang pendahuluan (downpayment) penuh menggunakan kad kredit melalui pelan ansuran faedah 0% sehingga 48 bulan, di samping menikmati kadar faedah sewa beli kenderaan serendah 1.18%.
Bagi pelanggan yang memilih untuk membeli menggunakan kaedah konvensional tanpa pelan kad kredit tersebut, mereka bakal menerima ganjaran alternatif berupa kotak pengecas dinding (Wallbox) 22 kW serta pengecas mudah alih 3-pin secara percuma.
Buku tempahan dan sesi pandu uji bagi model 2026 Zeekr X kini dibuka secara rasmi di semua bilik pameran Zeekr yang sah di seluruh negara.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?