NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

DENZA D9 Prestige AWD Baharu Dilancarkan Sokong BYD Flash Charging: 10% Ke 70% Dalam 5 Minit

DENZA D9 Prestige AWD Baharu Dilancarkan Sokong BYD Flash Charging: 10% Ke 70% Dalam 5 Minit

DENZA Malaysia secara rasmi memperkenalkan DENZA D9 Prestige AWD baharu dengan beberapa penambahbaikan dari segi keselesaan kabin, sistem hiburan dan prestasi elektrik. Menariknya, model MPV mewah ini turut menggunakan Bateri Blade Generasi Kedua BYD yang menyokong teknologi BYD Flash Charging.

Menerusi teknologi pengecasan tersebut, bateri DENZA D9 Prestige AWD boleh dicas daripada 10% kepada 70% dalam masa sekitar lima minit. Sementara itu, pengecasan daripada 10% kepada 97% mengambil masa kira-kira sembilan minit, tertakluk pada keadaan pengecasan yang optimum dan penggunaan kemudahan pengecasan yang serasi.

Bateri 115.07 kWh, Jarak Pemanduan Sehingga 650 KM

Dari segi prestasi, DENZA D9 Prestige AWD menggunakan rangkaian kuasa elektrik yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 410 kW (557 PS) dan tork maksimum 445 Nm.

Kuasa tersebut dipadankan dengan bateri berkapasiti 115.07 kWh, yang membolehkan MPV elektrik ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 650 km berdasarkan kitaran NEDC.

Bagi meningkatkan keselesaan ketika pemanduan, model ini turut dilengkapi sistem suspensi redaman pintar DiSus-C dengan injap berkembar. Sistem tersebut melaraskan tahap redaman mengikut keadaan jalan dan pergerakan kenderaan, sekali gus membantu mengurangkan olengan badan serta memberikan pengendalian yang lebih stabil dan lancar.

Kabin Lebih Mewah Dengan 16-Point Massage Chair

Beralih ke bahagian kabin, DENZA D9 Prestige AWD menerima kemasan kulit Nappa bagi memberikan suasana yang lebih premium kepada pemandu dan penumpang.

Tempat duduk barisan kedua menawarkan pelarasan elektrik pelbagai arah serta fungsi urutan 16 titik. Bukan itu sahaja, tempat duduk barisan kedua dan ketiga turut dilengkapi fungsi pengudaraan dan pemanasan, manakala tempat duduk barisan ketiga boleh dilaraskan secara elektrik dalam empat arah.

Untuk hiburan sepanjang perjalanan, penumpang barisan kedua disediakan dengan dua skrin multimedia bersaiz 12.8 inci. Sistem audio Devialet dengan 16 pembesar suara turut melengkapkan pengalaman hiburan dalam kabin.

Dari segi praktikaliti, ruang bagasi menawarkan kapasiti 689 liter apabila semua tempat duduk digunakan. Kapasiti tersebut boleh ditingkatkan sehingga 2,436 liter bergantung pada susunan tempat duduk, selain ruang penyimpanan tambahan 126 liter di bawah lantai.

Antara ciri lain yang ditawarkan termasuk sistem arahan suara dengan sokongan interaksi enam zon, paparan unjuran realiti terimbuh (AR) untuk membantu pengendalian pintu belakang dan pintu gelangsar berkuasa, serta tuil pemilih gear yang kini ditempatkan pada tiang stereng bagi memberikan lebih ruang pada konsol tengah.

Sembilan Beg Udara dan Sistem ADAS

Dari aspek keselamatan, DENZA D9 Prestige AWD dilengkapi beberapa sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), termasuk Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Pintar (ICC) dan Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA).

Model ini turut menerima beg udara hadapan tengah, menjadikan jumlah keseluruhan beg udara sebanyak sembilan unit bagi perlindungan penumpang.

Waranti Sehingga 10 Tahun Dengan Pakej DENZA Care+

Untuk pakej pemilikan, DENZA D9 Prestige AWD ditawarkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km, servis penyelenggaraan berjadual percuma selama enam tahun serta waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km, dengan tahap kesihatan bateri (SOH) sekurang-kurangnya 72.5%.

Waranti unit pacuan pula diberikan selama lapan tahun atau 160,000 km.

Harga rasmi DENZA D9 Prestige AWD bermula RM 345, 000

Bagaimanapun, pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2026 akan menerima pakej DENZA Care+ bernilai RM7,088 tanpa kos tambahan. Pakej ini memberikan tambahan dua tahun atau 40,000 km kepada waranti bateri voltan tinggi, menjadikan perlindungan keseluruhan sehingga 10 tahun atau 200,000 km.

Selain itu, DENZA Malaysia turut menawarkan BYD Flash Charging percuma selama setahun kepada pemilik baharu DENZA D9 Prestige AWD dan pemilik DENZA Z9GT.

Sehingga 8 Disember 2026, pemilik DENZA yang menggunakan Bateri Blade Generasi Kedua boleh menikmati kemudahan pengecasan di tiga lokasi yang sedang beroperasi, iaitu DENZA Balakong, Glenmarie dan Jalan Klang Lama tanpa perlu memuat turun aplikasi atau membuat pendaftaran awal.

Mulai 9 Disember 2026, pengguna perlu menggunakan aplikasi BYD Flash Charging App untuk mengakses kemudahan tersebut. Pengecasan percuma akan diteruskan di lokasi BYD Flash Charging yang beroperasi sehingga 31 Disember 2027, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

Harga dan Pilihan Warna DENZA D9 Prestige AWD

DENZA D9 Prestige AWD ditawarkan dalam empat pilihan warna1:

  • Arctic White
  • Cosmos Black
  • Starry Night Grey
  • Whale Blue Sea.

Starry Night Grey merupakan warna baharu yang dipadankan dengan kemasan dalaman hitam, manakala pilihan Arctic White, Cosmos Black dan Whale Blue Sea hadir dengan kemasan dalaman berwarna coklat.

Model ini kini boleh dilihat dan dipandu uji di bilik pameran DENZA terpilih di seluruh negara, termasuk Balakong, Glenmarie, KLCC, KL North, Old Klang Road, Melaka, Pulau Pinang dan Skudai.

Aisyah Rafiza

Aisyah Rafiza adalah jambatan korporat utama NAZZ&CO™ Media. Sebagai Eksekutif Perhubungan Awam (PR) & Penganalisis Strategik, beliau menguruskan hubungan klien berprofil tinggi serta unjuran strategik bagi memastikan setiap visi syarikat disampaikan dengan integriti dan kejelasan mutlak kepada pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy