NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Proton S70 Dipilih Sebagai Model Rasmi Teksi MADANI Nasional

Proton S70 Dipilih Sebagai Model Rasmi Teksi MADANI Nasional

Industri teksi negara kini memasuki fasa baharu menerusi pelancaran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasionalyang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 3 Julai 2026.

Program ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pengangkutan (MOT), beberapa agensi kerajaan serta sektor swasta termasuk PROTON dan Kumpulan DRB-HICOM.

Matlamat utamanya adalah untuk memodenkan industri teksi negara, di samping meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi di seluruh Malaysia.

Kerajaan Tambah Dana RM10 Juta

Semasa majlis pelancaran, Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan dana sebanyak RM10 juta bagi menjayakan program ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata, “Saya luluskan hari ni segera tambahan 10 juta ringgit lagi, ini khusus untuk teksi.”

Dana ini bertujuan membantu pemandu menggantikan kenderaan lama dengan model yang lebih moden, selamat dan selesa.

Pada masa sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan bahawa Proton S70 dipilih sebagai model rasmi program ini kerana sesuai digunakan sebagai teksi dari segi keselamatan, keselesaan dan penggunaan bahan api yang lebih cekap.

Permit dan Kereta Kini Milik Pemandu

Antara pembaharuan terbesar yang diperkenalkan ialah penamatan sistem pajak yang telah lama digunakan dalam industri teksi.

Di bawah program baharu ini, permit teksi dan hak milik kenderaan akan didaftarkan terus atas nama pemandu sendiri, walaupun pembelian dibuat melalui pembiayaan bank. Ini bermakna pemandu kini boleh memiliki kenderaan mereka sendiri tanpa bergantung kepada sistem sewaan seperti sebelum ini.

Geran RM10 Juta dan Harga Proton S70 Lebih Rendah

Bagi membantu pemandu memiliki kenderaan baharu, kerajaan turut memperkenalkan Geran Padanan Teksi MADANI bernilai RM10 juta.

Melalui geran ini, pemandu yang menukar (trade-in) kenderaan lama layak menerima rebat sehingga RM4,000, iaitu:

  • RM2,000 daripada PROTON.
  • RM2,000 daripada kerajaan.

Selain itu, Proton S70 versi teksi turut menikmati pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan.

Hasilnya, harga atas jalan Proton S70 versi teksi dianggarkan sekitar RM64,500 tanpa insurans, berbanding harga runcit biasa sebanyak RM74,800.

Jika pemandu memanfaatkan rebat trade-in sepenuhnya, harga tersebut boleh menjadi serendah RM60,500.

Apa Yang Baharu Pada Teksi MADANI?

Berbanding teksi konvensional sebelum ini, Teksi MADANI yang menggunakan Proton S70 varian Premium hadir dengan beberapa pembaharuan menarik.

1. Rekaan Luaran Baharu

Teksi ini menggunakan warna Ruby Red sepenuhnya dengan corak floral putih pada bahagian tiang C (C-pillar). Berbeza dengan teksi lama, ia tidak lagi menggunakan kombinasi bonet dan bumbung berwarna putih.

2. Tiada Lagi Papan Tanda Teksi Di Atas Bumbung

Papan tanda teksi tradisional di atas bumbung turut digantikan dengan paparan skrin LED pintar pada bahagian atas kiri cermin hadapan dan cermin belakang.

Skrin ini boleh memaparkan status sama ada “Teksi” atau “E-hailing”, bergantung kepada mod operasi pemandu.

3. Plat Nombor Khas

Program ini turut memperkenalkan nombor pendaftaran khas menggunakan siri GET, singkatan kepada Gabungan E-hailing dan Teksi, dengan latar belakang merah dan putih.

4. Meter Digital dan Paparan Iklan

Di dalam kabin pula, Proton S70 versi teksi dilengkapi dengan meter teksi digital yang dipasang di bawah papan pemuka.

Skrin tersebut juga boleh memaparkan iklan digital, sekali gus memberi peluang kepada pemandu menjana pendapatan tambahan.

5. Mesin Cetak Resit

Kenderaan ini turut dilengkapi dengan mesin pencetak resit bersaiz kecil yang dipasang di bawah konsol tengah bagi memudahkan urusan dengan penumpang.

6. Boleh Digunakan Untuk Kegunaan Peribadi

Oleh kerana reka bentuknya tidak lagi menyerupai teksi konvensional, kenderaan ini juga dibenarkan digunakan untuk kegunaan peribadi dan keluarga apabila tidak beroperasi sebagai teksi.

7. Keutamaan Pemeriksaan Berkala

Selain itu, kenderaan di bawah Program Teksi MADANI akan diberikan keutamaan di kaunter semasa menjalani pemeriksaan berkala di pusat pemeriksaan kenderaan seperti PUSPAKOM.

Kesimpulan

Pelancaran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional merupakan langkah penting dalam usaha memodenkan industri teksi negara.

Melalui pemilikan kenderaan yang lebih mudah, bantuan kewangan, serta penggunaan Proton S70 sebagai model rasmi, program ini bukan sahaja meningkatkan imej perkhidmatan teksi, malah diharap dapat membantu pemandu menikmati pendapatan yang lebih stabil serta persekitaran kerja yang lebih baik.

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy