NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Budi Diesel: Hampir 200,000 Pemilik Trak Pikap Dan SUV Terima Manfaat

Budi Diesel: Hampir 200,000 Pemilik Trak Pikap Dan SUV Terima Manfaat

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa hampir 200,000 permohonan daripada pemilik trak pikap dan SUV diesel yang diklasifikasikan sebagai jip oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), telah diluluskan untuk menerima kuota tambahan 100 liter sebulan di bawah program Budi Madani Diesel (Budi Diesel).

Kelulusan ini menyaksikan had kelayakan bulanan bagi penerima yang layak meningkat kepada 300 liter sebulan bermula Julai, merangkumi lebih 174,000 pemilik di Semenanjung Malaysia dan lebih 22,000 di Sabah, Sarawak, serta Labuan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa kuota tambahan ini disediakan selepas mengambil kira keperluan penggunaan bahan api yang lebih tinggi bagi kenderaan jenis tersebut, terutamanya untuk perniagaan kecil dan pergerakan di kawasan luar bandar.

“Kerajaan faham bahawa bagi pemilik pikap dan SUV diesel, kenderaan ini bukan sahaja digunakan untuk perjalanan harian, tetapi juga tujuan mencari nafkah dan menguruskan keperluan keluarga. Itulah sebabnya tambahan 100 liter ini disediakan.”

“Kami berharap kemudahan tambahan ini dapat membantu mereka menguruskan keperluan diesel bulanan mereka dengan lebih baik,” kata beliau dalam satu kenyataan rasmi.

Status Terkini Jualan & Pengisian Budi Diesel

Bagi korang yang nak tahu impak pelaksanaan setakat ini, berikut adalah data penting yang dikongsikan oleh Kementerian Kewangan:

  • 12.6 Juta Liter Terjual: Sejak 27 Jun hingga 4 Julai, sebanyak 12.6 juta liter diesel bersubsidi telah terjual menerusi lebih daripada 336,000 transaksi yang direkodkan.

  • RM23 Juta Subsidi Ditanggung: Kerajaan telah menanggung kos subsidi melebihi RM23 juta bagi menampung jualan diesel tersebut dalam tempoh berkenaan.

  • Dua Kadar Harga: Jumlah jualan tersebut merangkumi pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter semasa fasa akses awal, dan pada harga RM2.10 seliter selepas ia dilaksanakan secara rasmi pada 1 Julai.

  • Permohonan Pindah Kelayakan: Setakat 4 Julai 2026, lebih daripada 2,000 permohonan telah diterima bagi tujuan pemindahan kelayakan Budi Diesel untuk kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat.

Langkah penyasaran subsidi ini merupakan usaha berani kerajaan untuk memastikan dana negara tidak terus tiris ke pihak yang tidak sepatutnya.

Menegaskan objektif utama program ini, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menambah bahawa pelaksanaan Budi Diesel adalah bertujuan untuk memastikan subsidi kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar, di samping menutup kelemahan ketirisan dan penyeludupan yang telah menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Sumber: Astro Awani

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy