JURU, PULAU PINANG: Naza Eastern Motors terus memperkukuh kehadiran Suzuki di wilayah utara dengan pembukaan Suzuki Juru, sebuah pusat pengedar sah baharu yang terletak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dikendalikan oleh SMG Auto (MN) Sdn Bhd, pembukaan pengedar baharu ini melibatkan pelaburan sebanyak RM1 juta, termasuk unit pameran dan pandu uji, bagi menyokong perkembangan jenama Suzuki di pasaran utara Malaysia.
Menurut Naza Eastern Motors, lokasi tersebut dipilih bagi memudahkan akses pelanggan dari Juru, Bukit Mertajam dan kawasan sekitarnya untuk mendapatkan maklumat serta melihat barisan model Suzuki yang ditawarkan.



Suzuki Juru mempunyai ruang pameran seluas 1,600 kaki persegi yang menempatkan tiga unit kenderaan Suzuki untuk dipamerkan kepada pelanggan.
Showroom tersebut turut dilengkapi ruang menunggu pelanggan, manakala sebagai pengedar 1S, operasi cawangan ini memberi tumpuan kepada pengalaman jualan. Bagi urusan selepas jualan, pelanggan boleh mendapatkan sokongan daripada pusat servis Suzuki di Bayan Lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan, berkata pembukaan Suzuki Juru merupakan satu lagi langkah untuk mengukuhkan kehadiran Suzuki di wilayah utara.
Beliau turut melihat Juru dan Bukit Mertajam sebagai kawasan yang mempunyai kepentingan strategik berikutan pertumbuhan populasi serta hubungan jalan raya yang baik, selain melihat potensi untuk membawa jenama Suzuki lebih dekat kepada pelanggan di kawasan tersebut.
Dengan pembukaan Suzuki Juru, rangkaian Suzuki di Malaysia kini merangkumi 14 outlet jualan sah dan 13 pusat servis di seluruh negara.

Selain pembukaan cawangan baharu, Naza Eastern Motors turut mengetengahkan SUZUKI CARe, sebuah program yang menggabungkan perlindungan insurans kenderaan dengan bantuan tepi jalan untuk pemilik Suzuki.
Di bawah program tersebut, Suzuki Protect menawarkan perlindungan insurans kenderaan berjenama Suzuki yang ditaja jamin oleh Zurich General Takaful Malaysia Berhad. Program ini tersedia untuk model Suzuki yang dijual melalui pengedar Suzuki.
Antara manfaat yang disenaraikan termasuk perlindungan berdasarkan agreed value untuk kenderaan sehingga 12 tahun, tiada betterment sehingga 10 tahun, pengecualian excess sehingga 10 tahun, Special Perils Coverage dan towing tanpa had.
Turut disertakan perlindungan untuk semua pemandu, penggunaan alat ganti tulen, serta Personal Accident Coverage untuk pemandu dan penumpang sehingga RM20,000 bagi setiap individu dengan had RM80,000. Terdapat juga perlindungan kunci kereta sehingga RM2,000 dan keahlian SkyLounge percuma selama setahun bagi pembelian melalui cawangan Naza Eastern Motors, tertakluk kepada terma dan syarat polisi.
Menurut Rizal, SUZUKI CARe dibangunkan untuk memberikan sokongan tambahan kepada pemilik Suzuki, daripada aspek perlindungan sehinggalah bantuan ketika berlaku masalah di jalan raya.
Bagaimanapun, careline SUZUKI CARe di 1800-888-700 masih dalam proses persediaan untuk diaktifkan, dengan integrasi sistem akhir sedang dijalankan. Pelanggan akan dimaklumkan apabila perkhidmatan tersebut mula beroperasi sepenuhnya.

Suzuki Juru kini dibuka setiap hari dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang dan terletak di No. 3 (GF), Jalan Sentral Jaya, Pusat Perdagangan Sentral Jaya, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Untuk urusan selepas jualan, pelanggan boleh mengunjungi Suzuki Bayan Lepas Service Centre di Jalan Sungai Tiram 7, Bayan Lepas. Pusat servis tersebut beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang dan Sabtu dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Pembukaan Suzuki Juru menambah satu lagi titik akses kepada rangkaian Suzuki di Malaysia, khususnya untuk pelanggan di kawasan utara, ketika Naza Eastern Motors meneruskan usaha memperluaskan kehadiran jenama tersebut di lokasi strategik seluruh negara.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?