Switzerland memang terkenal dengan pemandangan alam semula jadi yang cantik, pengangkutan awam yang cekap dan bandar yang bersih. Tapi sebelum anda teruja nak meneroka negara ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya tidak tersalah langkah ketika berada di sana.
Bagi pelancong Malaysia yang pertama kali ke Switzerland, ini lima perkara yang sebaiknya dielakkan.
Kalau anda merancang untuk meneroka Switzerland menggunakan kereta api, perlu ingat bahawa menjaga ketenteraman penumpang lain merupakan satu perkara penting.
Syarikat kereta api Switzerland, SBB, menetapkan bahawa bunyi keterlaluan tidak dibenarkan dalam perkhidmatan mereka. Jadi, elakkan bercakap terlalu kuat, memasang muzik tanpa fon telinga atau membuat panggilan telefon dengan suara yang kuat. Laman web SBB juga ada menyenaraikan beberapa peraturan dalam tren.
Menariknya Sesetengah kereta api turut menyediakan quiet zones yang mempunyai peraturan lebih ketat tentang bunyi.
Bagi rakyat Malaysia, tawar-menawar mungkin perkara biasa terutamanya apabila membeli barangan di pasar atau kedai tertentu. Tetapi di Switzerland, amalan ini bukanlah kebiasaan dalam kebanyakan urusan jual beli.
Harga barangan dan perkhidmatan biasanya sudah ditetapkan, terutamanya di pasar raya, restoran dan kedai runcit. Jadi, jangan terkejut jika penjual tidak melayan permintaan untuk mendapatkan harga lebih rendah.
Tip: Semak harga sebelum membeli dan pastikan anda sudah menyediakan bajet. Kalau ada promosi atau diskaun, biasanya ia akan dipaparkan dengan jelas.
Walaupun bahasa Inggeris digunakan secara meluas di kawasan pelancongan, Switzerland sebenarnya mempunyai empat bahasa kebangsaan iaitu Jerman, Perancis, Itali dan Romansh.
Bahasa yang digunakan bergantung pada kawasan. Contohnya, penduduk di Zurich kebanyakannya menggunakan bahasa Jerman, manakala Geneva menggunakan bahasa Perancis.
Jadi, sebelum terus bertanya dalam bahasa Inggeris, mulakan perbualan dengan lebih sopan.
Tip: Cuba gunakan ayat seperti “Excuse me, do you speak English?” sebelum bertanya. Anda juga boleh belajar beberapa perkataan mudah seperti Grüezi (hello dalam bahasa Jerman Switzerland) atau Bonjour (hello dalam bahasa Perancis).
Ini antara perkara yang pelancong perlu ambil perhatian, terutamanya jika menginap di apartmen atau penginapan yang terletak di kawasan perumahan.
Di Switzerland, waktu senyap pada waktu malam lazimnya bermula sekitar 10 malam hingga 6 atau 7 pagi. Dalam tempoh ini, aktiviti yang menghasilkan bunyi bising seperti memasang muzik kuat, menjerit atau mengganggu jiran perlu dielakkan.
Namun, waktu sebenar boleh berbeza mengikut kawasan dan peraturan penginapan. Sesetengah tempat turut mempunyai waktu rehat pada tengah hari atau peraturan tambahan pada hari Ahad.
Tip: Semak peraturan penginapan sebelum daftar masuk. Kalau pulang lewat selepas berjalan-jalan, pastikan anda tidak membuat bising di koridor atau kawasan kediaman.
Switzerland terkenal dengan persekitarannya yang bersih dan terjaga. Sebab itu, menjaga kebersihan kawasan awam merupakan tanggungjawab semua orang, termasuk pelancong.
Membuang sampah merata-rata atau tidak menggunakan tempat pembuangan yang disediakan boleh dianggap sebagai satu kesalahan. Malah, peraturan di kawasan stesen kereta api SBB membenarkan tindakan penalti, termasuk denda pampasan sekurang-kurangnya CHF25 bagi pelanggaran tertentu.
Tip: Pastikan sampah dibuang ke dalam tong yang betul. Jika berada di kawasan pergunungan atau laluan pendakian dan tiada tong sampah berdekatan, simpan dahulu sampah anda sehingga menemui tempat pembuangan yang sesuai.
Setiap negara mempunyai budaya dan peraturan tersendiri yang perlu dihormati oleh pelancong. Jika merancang untuk ke Switzerland, memahami perkara-perkara kecil seperti ini boleh membantu perjalanan menjadi lebih lancar dan selesa.
Ingat, kita datang sebagai tetamu. Jadi, selain menikmati keindahan Switzerland, pastikan kita juga menghormati masyarakat, budaya dan persekitaran di sana.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?