BYD Seal akhirnya dibuka untuk tempahan awal di laman web rasmi mereka hari ini selepas banyak teaser telah dikeluarkan. Bayaran tempahan sebanyak RM1,000 diperlukan dan berdasarkan borang tempahan dalam talian yang telah dikeluarkan oleh BYD, bayaran tempahan akan dimasukkan sekali bersama dengan harga keseluruhan kenderaan itu. BYD Seal ini didatangkan dengan 3 varian di Malaysia iaitu Dynamic, Premium dan Performance tetapi harga sebenarnya masih belum diketahui lagi.
Varian yang pertama iaitu Dynamic Standard Range didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 310 Nm manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 204 Ps. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 7.5 saat. Untuk jarak sejauh 460 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 61.4 kWh dengan sekali pengecasan.
Untuk varian Premium Extended Range, ia juga didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 360 Nm manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 313 Ps. Untuk jarak sejauh 570 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 82.5 kWh dengan sekali pengecasan.
Untuk varian paling laju seperti yang mereka telah iklankan di dalam posting mereka iaitu Performance AWD didatangkan dengan spesifikasi dual-motor powertrain yang mampu menghasilkan 670 Nm manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 530 Ps. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 3.8 saat. Untuk jarak sejauh 520 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 82.5 kWh dengan sekali pengecasan.
Bagi varian Dynamic, ia didatangkan dengan 2 warna iaitu Cosmos Black atau Aurora White. Manakala varian Premium didatangkan dengan tambahan warna Atlantis Grey dan varian Performance didatangkan khas dengan tambahan warna Arctic Blue.
Sumber: Paultan