Susulan daripada laporan agensi berita Reuters beberapa hari yang lepas yang menyatakan Petronas sedang merancang untuk membawa kembali perlumbaan itu ke sini pada 2026, Petronas telah mengeluarkan kenyataan yang menafikan khabar angin bahawa perlumbaan Formula One akan kembali ke Malaysia.
Pada awal minggu ini, terdapat 3 sumber dalaman yang tidak dinamakan berkata yang rancangan terbabit telah diutarakan dalam satu mesyuarat syarikat itu, kata agensi itu.
“Petronas merujuk kepada laporan yang diterbitkan pada 31 Januari 2024 berkaitan kemungkinan kembalinya perlumbaan Formula One Grand Prix ke Sepang pada 2026. Kami ingin mengesahkan yang tiada perbincangan yang diadakan berkaitan hal tersebut,” jelas kenyataan itu.
Perlumbaan F1 di Sepang pernah dianjurkan satu ketika dahulu pada tahun 1999 namun jualan tiket yang menurun dan kos penganjuran yang meningkat telah memaksa kerajaan persekutuan untuk membatalkan acara tersebut selepas tahun 2017.
Pada 2022, laman Twitter rasmi SIC telah memberi gambaran bahawa F1 bakal kembali ke Sepang dan spekulasi tersebut telah tersebar dalam kalangan rakyat Malaysia yang teruja dengan berita tersebut. Namun khabar angin itu telah dinafikan.
Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia, Mokhzani Mahathir telah mengeluarkan kenyataan pada tahun lalu bahawa Malaysia akan menganjurkan F1 semula dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang sekiranya ada pihak yang ingin menanggung perbelanjaannya.
Sumber : Paultan