Satu pencapaian yang hebat dalam industri automotif Malaysia, di mana jualan tahunan pada 2023 telah mencecah 799,731 unit kenderaan. Peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding pada tahun 2022 menunjukkan peningkatan yang banyak dari semua jenama automotif di Malaysia.
Senarai keputusan jualan tahunan pada 2023 telah kami perolehi melalui rakan media kami, Paultan, dan sebahagian dari keputusan ini bakal membuka mata anda semua. Di tempat pertama, masih didahului oleh Perodua dengan jualan tahunan sebanyak 330,325 unit kenderaan berjaya dijual. Ini menunjukkan peningkatan luar biasa kerana mereka mencapai jualan lebih dari 300,000 unit iaitu peningkatan sebanyak 48,306 unit berbanding pada tahun 2022 sebanyak 282,019 unit.
Tempat kedua diduduki oleh pembuat kereta nasional, Proton, yang juga menunjukkan peningkatan yang sangat baik dalam prestasi jualan tahunan mereka. Sebanyak 150,975 unit kenderaan berjaya dijual dan peningkatan sebanyak 14,949 unit berbanding pada tahun 2022 iaitu sebanyak 136,026 unit.
Toyota kekal pencabar kenderaan bukan nasional dengan jualan tahunan pada 2023 sebanyak 106,206 unit dan di bawahnya adalah Honda yang prestasi jualan tahunannya sedikit menurun berbanding pada tahun 2022 iaitu sebanyak 80,027 unit sahaja berjaya dijual.
Mitsubishi juga mengalami penurunan mendadak dan hanya berjaya jual sebanyak 21,719 unit berbanding pada tahun 2022 iaitu sebanyak 24,017 unit. Apa yang mengejutkan pada tahun lalu, prestasi jualan tahunan bagi Mazda menunjukkan peningkatan yang sangat agresif iaitu sebanyak 19,124 unit berbanding pada tahun 2022 yang hanya 14,644 unit.
Kredit Imej : Paultan
Dengan pelancaran New Ranger dan Everest dari Ford pada tahun 2023 telah meningkatkan lagi jualan tahunan mereka sebanyak 8,858 unit berbanding pada tahun 2022 sebanyak 5,837 unit. Antara jenama yang mengalami penurunan yang banyak adalah Nissan sebanyak 27.5 peratus penurunan, Volkswagen sebanyak 31.5 peratus penurunan dan Subaru sebanyak 28.4 peratus penurunan.
Memasuki segmen jenama Premium dan mewah, jualan tahunan bagi BMW kekal sama dengan hanya penurunan sebanyak 3 unit sahaja manakala bagi Mercedes-Benz menunjukkan penurunan sebanyak 7 peratus. Ini telah membuka ruang bagi jenama Lexus, MINI, Porsche dan Hyundai yang masing-masing menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam jualan tahunan mereka.
Tidak dilupakan bagi jenama EV dari China, BYD yang baru sahaja dilancarkan ke pasaran Malaysia pada tahun lalu dan berjaya meraih tempat ke-14 dengan jumlah jualan tahunan sebanyak 3,728 unit. Di atas BYD adalah Chery, yang juga jenama dari China dan lebih mengejutkan adalah pelancarannya hanya bermula pada bulan September tetapi berjaya menjual sebanyak 4,493 unit dengan hanya 4 bulan sahaja.
Jenama yang lain anda boleh lihat sendiri di senarai di atas dan bandingkan sendiri di antara jenama-jenama lain yang telah melaporkan kepada Malaysian Automotive Association (MAA).
Sumber : Paultan