Sebagai tanda penutup bagi model F60 generasi kedua di Malaysia, BMW Group Malaysia telah mengumumkan ketibaan Mini Countryman Facelift dengan kemasan eksklusif John Cooper Works Trim untuk pasaran Malaysia.
Terhad kepada 168 unit, model yang merupakan varian edisi khas untuk Cooper S ini bakal didatangkan dengan kit aerodinamik John Cooper Works (JCW) yang termasuk bampar hadapan dan belakang, tepi pintu, spoiler belakang dan rim.
Beralih kepada bahagian dalaman, MINI Cooper S Countryman JCW Trim ini turut menerima penghadang cahaya anthracite, perumah lampu dome serta kemasan tiang warna anthracite. Empat pilihan warna bakal ditawarkan bagi model ini iaitu British Racing Green, Chilli Red, Nanuq White dan Sage Green dalam jumlah yang terhad.
Tiada perubahan pada bahagian mekanikal dan model ini akan terus menggunakan enjin 4 silinder turbo 2.0 liter B48 yang mampu menghasilkan 192 Ps pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan 280 Nm tork antara 1,350 hingga 4,600 rpm. Pecutan o-100 km/j didakwa dalam masa 7.5 saat dan kelajuan maksimum yang dicapai adalah 226 km/j.
MINI Cooper S Countryman JCW Trim ini dijual pada harga RM253,833 tidak termasuk insurans, tetapi jika mahu didapati dengan pakej lanjutan jaminan dan servis, pemilik perlu menambah RM10,400, dan harga kereta akan menjadi RM264,233.