Sekian lama Toyota Crown tidak memasuki pasaran di negara kita sebagai model baru. Jika kita lihat pada model yang telah dilancarkan secara global iaitu model generasi ke-16, besar kemungkinan ketibaannya ke pasaran Malaysia mungkin ada. Baru-baru ini, ia telah dibuktikan sendiri apabila rakan media kami, Paultan telah terserempak dengan model ini di atas jalan raya di Malaysia menuju ke Glenmarie tanpa sebarang pelekat penyamaran di badan.
Crown telah diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2022 dengan empat jenis badan, dan model yang mereka terserempak adalah versi crossover. Ia membawa rekaan luar yang agak pelik sedikit dan warnanya yang menyerlah seperti yang boleh dilihat dalam gambar.
Semua varian baru Crown ini ditawarkan dalam varian hibrid dan seperti yang dapat dilihat dalam gambar bahagian belakang kenderaan, lencana Hybrid Synergy Drive jelas terpapar di situ. Ia melibatkan gabungan enjin NA 2.5 liter 186 PS/221 Nm dengan motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 234 PS. Versi Dual Boost yang lebih berkuasa pula menggunakan padanan enjin 2.4L turbo 272 PS/460 Nm dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 349 PS.
Kredit Imej : Paultan
Sebelum ini, Toyota ada menyatakan bahawa mereka ingin menambah lagi model hibrid, tetapi nama sebenar masih tidak diketahui. Semasa acara Beyond Zero yang telah dianjurkan baru-baru ini juga cuma memaparkan Camry, Alphard dan Vellfire dalam versi Hybrid.
Berkemungkinan, ini adalah unit import terpakai atau dibawa masuk untuk kegunaan lain seperti penilaian. Malah apabila dilihat dalam laman web jualan kenderaan, memang Crown ini sudah ada, dengan harga antara RM320,000 ke RM470,000.
Sumber & Kredit Imej : Paultan