Chery Malaysia telah melancarkan sebuah model baharu iaitu Omoda E5 dan mengumumkan harga rasmi pada hari ini di The Zepp, Kuala Lumpur. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri.
Dengan kuasa 201 Hp dan 340 Nm, Chery Omoda E5 ini didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 7.6 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 172 km/j. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.
Untuk jarak sejauh 430 km boleh dicapai dengan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj dan tidak perlu risau tentang pengecasan bateri kerana Chery Omoda 5 ini boleh mencapai pengecasan 30-80 peratus dalam masa 28 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beroperasi menerusi sistem V2L 3.3 kW.
Omoda E5 ini turut dilengkapi dengan paparan instrumen digital dan skrin infotainmen 2K HD sebesar 24.6 inci untuk pengalaman visual yang mendalam dan dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC). Berbanding dengan Omoda 5 versi petrol, reka bentuk luaran Omoda 5 kali ini sedikit berbeza kerana didatangkan dengan boot space yang lebih luas dan beberapa lagi spesifikasi baharu.
Bagi sistem bantuan pemandu pula, ia dilengkapi dengan kamera 360-darjah, lampu tinggi automatik, kepekaan ketibaan kenderaan hadapan, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan sistem pemantauan tekanan tayar. Chery menggelarkannya sebagai ADAS 2.5.
Dengan tagline Drive E-Future, Omoda E5 ini didatangkan dengan sejumlah 4 warna, termasuk Aqua Green, Khaki White, Phantom Grey dan Dark Black dengan harga RM146,800. Wall box charger dan kredit cas bernilai RM1,000 di rangkaian pengecas EVC akan diberikan kepada 2,000 tempahan pertama Omoda E5.
Di samping itu, Chery Malaysia turut menawarkan pakej waranti yang menyeluruh termasuk waranti kenderaan 7 tahun atau 150,000 km, jaminan bateri hebat selama 8 tahun atau 160,000 km dan waranti unit pemacu yang setanding untuk tempoh 8 tahun atau 160,000 km.