passionately driven

13,602 Unit Telah Berjaya Dijual Pada Februari 2024 – Saga Kekal Laris, S70 Tempat Kedua

Prestasi jualan bulan Februari telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya pada bulan Februari mencapai 13,602 unit, meningkat sebanyak 3% berbanding dengan tahun 2023. Berbanding jualan pada bulan Januari yang telah merekodkan sebanyak 12,882 unit, peningkatan sebanyak 5.6% dapat dilihat pada jualan Februari yang lalu.

Bagi mengekalkan kedudukan kedua bagi jualan keseluruhan, Proton menjangkakan akan mencapai 20.5% bagi perkongsian pasaran. Selain itu, eksport Proton juga telah melonjak sebanyak 223%, memberikan sumbangan yang signifikan terhadap pertumbuhan keseluruhan eksport sebanyak 50.5%, dengan 453 unit terjual di pasaran luar.

Saga juga terus mendapat permintaan yang tinggi, dengan penjualan melebihi 6,000 unit selama 5 bulan berturut-turut. Dengan jualan sebanyak 12,341 unit bagi dua bulan pertama 2024, jualan semasa tahunan Saga kini 10.9% lebih tinggi bagi tempoh sama tahun lalu.

nazznco-article-cover-proton-saga

Model terbaru Proton S70 kini mendominasi segmen-C dan seterusnya berada di tangga ke-2, dengan peningkatan sebanyak 60.5% (2,314 unit) berbanding 1,442 unit yang terjual pada Januari 2024. Proton menjangkakan model ini akan terus meningkat dalam bulan-bulan ke depan berdasarkan angka jualan pada Januari dan Februari 2024 ini.

Diikuti dengan Proton Persona pada tempat ke-3 yang berjaya menjual sebanyak 1,859 unit. Jualan Iriz pula meningkat sebanyak 3.8% kepada 543 unit, sementara X70 juga mencatatkan jualan lebih baik berbanding Januari dengan 445 unit terjual bulan lalu.

Bagi X90, 374 unit diserahkan bulan lalu, sementara Exora yang kini tidak lagi dikeluarkan dan hanya bergantung kepada stok sedia ada terjual sebanyak 39 unit.

“Proton meneruskan peningkatan positif bagi bulan kedua tahun ini, dengan jualan yang dipacu oleh pasaran domestik dan eksport. Pasaran eksport Proton akan menjadi pertumbuhan penting pada 2024 dan kami juga menjangkakan S70 akan mendominasi segmennya dengan serahan yang terus meningkat dalam bulan mendatang,” jelas CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

 

Sumber : Paultan

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD