2 hari yang lepas, GWM Malaysia baru sahaja mempertontonkan model terbaru mereka iaitu Ora 07. Berbanding dengan model pertama mereka yang dijual di sini, Ora Good Cat, Ora 07 mempunyai skim nama yang sedikit berbeza dengan menggunakan nombor. Ke hadapan kelak, untuk menyelaraskan nama modelnya, Ora Good Cat akan ditukar nama kepada GWM Ora 03, tetapi bukanlah dalam masa terdekat ini.
Syarikat itu tidak boleh melakukan dalam masa terdekat adalah kerana GWM Malaysia masih mempunyai stok model Ora Good Cat yang datang dengan perincian nama yang sama itu. Pertukaran nama ini dijangka berlaku paling awal ketika versi CKD-nya diperkenalkan nanti. Kemas kini kecil dan juga penggunaan bateri LFP yang baru mungkin akan dipasang pada model CKD ini dijangka bermula di Melaka pada tahun ini, melalui rakan pengeluarnya EP Manufacturing (EPMB).
Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia ketika ini. Varian 400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, dan mengambil masa sekitar lapan jam untuk dicas penuh dari pengecas AC 6.6 kW menerusi sambungan Type 2.
Manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km. Jarak yang dinyatakan ini adalah mengikut kitaran ujian NEDC. Ia mengambil lebih kurang 10 jam jika dicas menggunakan pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan dengan tahap 0-80% boleh diselesaikan sekitar 40 minit.
Kedua-dua varian juga menampilkan motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 143 PS/210 Nm, membolehkan Ora Good Cat ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 152 km/j.
Sumber : Paultan