Lamborghini Kuala Lumpur telah melancarkan Lamborghini Urus SE 2024 secara rasmi hari ini ke dalam pasaran Malaysia. Ia kini hadir dengan versi plug-in hybrid (PHEV) yang pertama untuk model SUV berkenaan, rekaan baru serta menggunakan janaan hibrid 800 CV di mana emisi dapat dikurangkan sehingga 80% berbanding versi petrol.
Model ini berukuran 5,123 mm panjang, 2,022 mm lebar dan 1,638 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,003 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 454 liter dan meningkat hingga 1,092 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Lamborghini Urus SE 2024 ini didatangkan dengan enjin turbo berkembar 4.0L V8 dengan sistem plug-in hybrid yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 456 kW dan 800 Nm tork. Enjin ini digandingkan pula dengan sistem janaan elektrik yang memberikan 141 kW dan 483 Nm tork. Kuasa gabungan dua sistem ini memberikan janaan maksimum 800 CV atau 588 kW pada 6,000 rpm (788 hp) dengan 950 Nm tork dari 1,750-5,750 rpm.
Pecutan dari 0-100 km/j hanya dalam masa 3.4 saat dan kelajuan maksimum pada 312 km/j. Dengan menggunakan bateri lithium-ion 25.9 kWh, Urus SE ini boleh dipacu secara 4WD dan sepenuhnya elektrik sejauh 60 km dalam mod elektrik, dengan laju maksimum 130 km/j.
Rekaan luarannya hadir dengan dengan hud rekaan terapung baru, kluster lampu utama dengan lampu LED Matrix, rekaan khas baru untuk lampu yang mengambil ilham dari ekor lembu dari logo Lamborghini, rekaan baru untuk bampar depan dan grilnya, bahagian kargo baru serta spoiler baru yang lebih bergaya dan sporty.
Memasuki ruang dalam, ia kini lengkap dengan skrin infotainment bersaiz 12.3 inci, Human Machine Interface (HMI) baru yang lebih intuitif, rekaan corong pendingin dengan kemasan aluminium anodized dan bentuk Y, pelapik panel, kerusi dan papan pemuka baru, butang push start baru, kluster instrumen digital bersaiz 12.3-inci dan Lamborghini Infotainment System (LIS) pada skrin sentuh di tengah.
Urus SE 2024 ditawarkan dengan 100 pilihan warna termasuk 47 kombinasi pilihan warna untuk ruang kabin dan empat jenis jahitan. Selain itu, 2 warna baru turut diperkenalkan iaitu Arancio Egon (oren) yang dipadankan dengan ruang dalaman Arancio Apodis (oren) dan juga Bianco Sapphirus (putih) dengan dalaman Terra Kedros (Terracotta).
Tempahan telah dibuka untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula dari RM1,028,000 (sebelum cukai dan duti) tidak termasuk pilihan dan ciri tambahan yang ditawarkan.