Chery Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan memberi sokongan penuh kepada semua atlet Malaysia yang akan bertanding di dalam sukan Olimpik yang bertempat di Paris pada bulan hadapan.
Untuk menyemarakkan lagi semangat para atlet dan memberi ganjaran di atas hasil titik peluh mereka berlatih dan mengharumkan nama negara, Chery Malaysia dengan baik hatinya akan memberikan Tiggo 8 Pro kepada pemenang pingat emas, Omoda E5 kepada pemenang pingat perak dan Tiggo 7 Pro kepada pemenang pingat gangsa.
“Kami tahu mereka telah bekerja keras dan berlatih berjam-jam lamanya untuk menghadapi cabaran ini. Kami letakkan harapan yang tinggi bahawa Malaysia mampu meraih pingat emas yang telah lama diidamkan,” kata Leo Chen selaku Presiden Chery Auto Malaysia.
Majlis pengumuman kerjasama antara Chery dan MSN ini turut dihadiri oleh Datuk Stuart Ramalingam selaku CEO Liga Bola Sepak Malaysia dan Koordinator Program Road To Gold, Pengerusi Chery Automobile Co., Yin Tongyue dan Presiden Chery International, Zhang Guibing.
“Kami sememangnya sangat gembira dengan sokongan padu yang diberikan oleh Chery Malaysia ini untuk memberikan ganjaran buat atlet Malaysia yang memberikan aksi terbaik dalam Sukan Olimpik di Paris tidak lama lagi. Kami berharap ia juga dapat menggalakkan para atlet agar memberikan yang terbaik dan membanggakan negara,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub.
Secara umum, Chery Malaysia akan menyokong semua atlet Malaysia walaupun ada sebahagian yang datang dari pelbagai negara luar untuk bertanding di dalam sukan Olimpik terbabit.