Pengeluar kereta nasional, Proton, telah mengumumkan bahawa pra-tempahan bagi model SUV segmen-C mereka, X70 2025, telah dibuka mulai 1 Ogos.
Versi terkini yang telah dipertingkatkan dapat dilihat dari rekaan luaran yang kini nampak lebih premium dengan rekaan gril “diamond” atau krom seperti yang terdapat pada X90 dan S70.
Selain itu, prestasi pemanduan juga telah dipertingkatkan dengan sistem ADAS tahap 2 untuk keselamatan dan keselesaan yang lebih baik. Paling ketara pada versi terkini adalah di bahagian dalaman X70 2025 ini di mana:
1. Sistem infotainment bersaiz 12.3 inci bersama sistem Android Auto & Apple Carplay
2. Proton Link kini boleh menghidupkan enjin & menyejukkan kereta dari jarak jauh
3. Tempat duduk dibalut oleh kulit Nappa berwarna kelabu batuÂ
4. 72 warna pilihan ambient lighting
Penggunaan enjin masih sama iaitu 1.5L Turbo TGDi yang mampu menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork dan penggunaan bahan api dikatakan telah meningkat kepada 7.3 liter/100 km. Perincian tambahan yang lain akan didedahkan semasa pelancaran rasmi tak lama lagi.
Sebagai tanda penghargaan Proton kepada pelanggan, Proton X70 2025 akan menawarkan harga dan pakej istimewa bagi pelanggan yang membuat tempahan awal seperti Proton X50 2024 tempoh hari.
Pelanggan yang berminat untuk membuat tempahan, hanya perlu membayar wang deposit sebanyak RM500 sahaja di mana-mana bilik pameran Proton yang terdekat atau hubungi penasihat jualan Proton. Tempoh tempahan dibuka sehingga diberitahu kelak.