Geely telah melancarkan secara rasmi SUV elektriknya, Galaxy E5 di China yang penuh dengan teknologi canggih. SUV ini berharga antara 112,800 hingga 148,800 yuan (RM69,700 – RM92,000) tetapi sempena dengan pelancarannya, Geely menawarkan diskaun sebanyak 3000 yuan (RM1,850) kepada pelanggan yang membuat tempahan sebelum 1 Oktober ini.
SUV ini berukuran 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, dan 1,670 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm, dan berat 1,615 kg. Ia didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 160kW dan 320 Nm tork, dengan pecutan dari 0-100 km/j dalam 6.9 saat.
SUV ini dilengkapi dengan pek bateri lithium iron phospate (LFP) yang menggunakan Aegis Short Blade Battery, menawarkan dua pilihan bateri iaitu 49.52 kWh dan 60.22 kWh, dengan jarak perjalanan 440 km dan 530 km, masing-masing.
Galaxy E5 mempunyai skrin kawalan pusat terapung, panel instrumen digital, dan paparan kepala (HUD). Varian lebih tinggi mempunyai sehingga 16 pembesar suara, termasuk pembesar suara pada sandaran kepala, dan sistem Flyme Auto yang mesra pengguna. Ia dikuasakan oleh CPU Dragon Eagle One 7 nm. SUV ini juga mempunyai hidden door handle dan Geely merancang untuk berkongsi teknologi ini dengan industri.
Ia menggunakan integrasi bateri CTB (cell-to-body) untuk nisbah beban gandar depan-ke-belakang 50:50, mengurangkan berat, merendahkan pusat graviti, dan meningkatkan ketegaran. Ia juga menampilkan sistem pandu pintar Galaxy 11-in-1 Geely, yang menggabungkan komponen penting ke dalam unit padat yang beratnya 79.8 kg dan berukuran 72 liter.
SUV ini menawarkan ruang dalaman seluas 4.03 meter persegi, dengan 33 ruang penyimpanan, termasuk laci tambahan di bawah ventilasi udara belakang dan satu lagi di bawah tempat duduk belakang. Ia ditawarkan dalam lapan warna pilihan iaitu merah, merah jambu, kelabu, hijau, putih, perak, hitam, dan biru.
Rekaan luaran model EV pertama Proton e.MAS telah didedahkan pada minggu lepas dengan bahagian dalaman masih disimpan rahsia oleh mereka. Dengan pelancaran rasmi Geely Galaxy E5 ini, adakah mungkin ini gambaran penuh untuk e.MAS7 atau sedikit kejutan akan diberikan? Sama-sama kita nantikan pelancaran Proton e.MAS7 paada hujung tahun ini.
Sumber : CarNewsChina