Prestasi jualan bulan Julai telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya mencapai 15,103 unit kenderaan (domestik & eksport) dan berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia. Peningkatan sebanyak 37.3% (4,104 unit) berbanding dengan jumlah jualan pada Jun dan merupakan jumlah tertinggi pernah direkodkan sejak September 2022.
Ini menunjukkan jualan keseluruhan bagi tujuh bulan pertama tahun ini telah mencecah kepada 88,799 unit. Dengan angka ini, Proton menjangkakan pegangan pasaran mereka kini berada pada sekitar 20.5%.
Proton Saga telah mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di dalam Proton dengan jumlah jualannya pada Julai mencapai 7,885 unit, sekaligus merekodkan pencapaian yang paling cemerlang sejak Oktober 2013. Jumlah terkumpul bagi Saga pada tahun ini sahaja sudah mencecah sebanyak 42,693 unit.
Ia diikuti dengan Proton X50 2024 yang telah menerima beberapa peningkatan baru pada Jun lepas dengan jumlah jualannya sebanyak 2,585 unit pada Julai. Ia seterusnya disambung oleh Proton Persona dengan jumlah jualannya sebanyak 1,911 unit, sekaligus mencatat prestasi terbaik sepanjang tahun 2024 ini.
Ia disambung dengan Proton S70 sebanyak 1,636 unit, Proton Iriz sebanyak 537 unit dan Proton X70 sebanyak 302 unit manakala Proton X90 sebanyak 277 unit pada Julai 2024. Jualan bagi X70 dijangka akan naik kembali berikutan dengan pelancaran X70 facelift 2025, yang akan dilancarkan tak lama lagi.