Selain WR-V SE, Honda Malaysia turut memperkenalkan Honda City Edisi Khas hari ini ke dalam pasaran Malaysia. Terhad kepada 99 unit sahaja, City SE ini turut didatangkan dengan pakej aksesori Modulo bernilai RM3,175 untuk varian V.
City SE ini dijual pada harga RM95,200 (on-the-road tanpa insurans), tambahan harga sebanyak RM300 untuk warna luarannya iaitu Platinum White Pearl.
Menurut laporan dari Paultan, ia dijangka sama dengan apa yang dilancarkan di Thailand kecuali rekaan roda aloinya sahaja yang berbeza. Untuk rekaan luaran, apa yang ditawarkan adalah sama seperti WR-V SE iaitu emblem SE, spoiler di bawah hadapan Modulo, spoiler di bawah bahagian belakang dan spoiler sisi.
Beralih kepada ruang dalaman, City SE ini ditambah dengan kemasan pemijak tepi, perakam video digital hadapan, pencahayaan lantai dan alas bahagian trunk.
Bagi spesifikasi enjin, ia masih kekal sama iaitu enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 121 Ps dan 145 Nm tork. Bagi spesifikasi dan kelengkapan lain juga masih sama dengan yang ditawarkan untuk varian V.
City SE ini hanya ditawarkan dengan satu warna luaran sahaja iaitu Platinum White Pearl. Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh berkunjung ke pengedar Honda terdekat bermula hari ini, 12 September, sehingga stok habis.