Tempahan Zeekr 009 Kini Dibuka di Malaysia – Anggaran Harga di Bawah RM370,000, 2 Varian, 582 km

Selain Zeekr X, Sentinel Automotive Sdn Bhd turut mengumumkan tempahan untuk model MPV Zeekr 009 turut dibuka secara rasmi di Malaysia. Dengan anggaran harga di bawah RM370,000, pelanggan boleh mula membuat tempahan dengan wang tempahan sebanyak RM4,000.

Model ini berukuran 5,209 mm panjang, 2,024 mm lebar, 1,856 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,205 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 376 liter dan meningkat hingga 2,979 liter sekiranya tempat duduk barisan ketiga dibaringkan.

2 varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Luxury-7 tempat duduk dan Ultra Luxury-6 tempat duduk. Kedua-dua varian menerima spesifikasi dua motor elektrik yang mampu menghasilkan 603 HP dan 693 Nm tork. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 4.5 saat sahaja.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis Nickel Manganese Cobalt (NMC). Untuk jarak sejauh 582 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 116kWh dengan sekali pengecasan untuk kedua-dua varian.

Bagi pengecasannya, Zeekr 009 boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 150 kW dengan status pengecasan 10% hingga 80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Kelajuan maksimum bagi kedua-dua varian pula ditetapkan pada 190 km/j.

Bagi model pasaran Malaysia ini telah disahkan akan menerima tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan 12 cara pelarasan memori, fungsi urut, dan pengudaraan. Untuk tempat duduk baris kedua ia diberikan rel gelangsar elektrik sepanjang 1.1 meter, manakala tempat duduk barisan ketiga menawarkan kemudahan masuk dan keluar elektrik dengan satu butang.

Bagi varian 6-tempat duduk, ia dilengkapi dengan Sofaro First Class Aeronautic dan mempunyai perehat tangan lebar dengan kawalan pelarasan tempat duduk terbina, perehat kaki boleh laras, pengudaraan, fungsi urut, dan memori.

Bagi ruang kabin dalaman, MPV ini diberikan paparan instrumen digital dengan skrin LCD HD penuh 10.25-inci, paparan head-up AR 35.95-inci, pengecas telefon pantar tanpa wayar 50W, sembilan port pengecas USB Type C, skrin sesentuh OLED 15.05-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin kabin belakang pada bumbung OLED 17-inci bersama skrin smart bar untuk baris kedua, serta sistem bunyi Yamaha dengan 30 pembesar suara termasuk laman perehat kepala tempat duduk.

Bagi sistem keselamatan pula, kedua-dua varian menerima sistem pemantau pemandu (DMS) bagi mengesan tahap kecergasan pemandu, kamera 360 darjah dan perekod video digital, Kawalan kekal lorong (LLC), cruise control adaptif (ACC), sokongan pengelak pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), brek parkir kecemasan dan lain-lain.

Zeekr 009 bakal diimport sepenuhnya (CBU) dan 3 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Phantom Black, Electric Blue dan Crystal White Pearl dengan upholsteri kulit Nappa dalam kabin warna dalaman Stone Grey dan Polar White atau Midnight Blue dan Polar White sebagai pilihan.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD