Kenderaan EV pertama Proton, Proton e.MAS7 telah berjaya menjelajah sebanyak 894 km di semua negeri-negeri di Selatan pada fasa pertama Jelajah Proton e.MAS7. Jelajah EV ini telah bermula pada 5 Oktober yang lalu untuk menonjolkan lagi kebolehan Proton e.MAS7 sebagai jenama EV pertama negara.
Pelbagai jenis cabaran dan halangan telah dilalui dengan lebih dari 2,000 km akan ditempuh bersama dengan laluan di pantai sehingga ke kawasan pergunungan untuk mempamerkan prestasinya.
Selain itu, orang ramai turut berpeluang untuk menyaksikan sendiri dan berinteraksi dengan EV sulung ini di setiap perhentian sepanjang jelajah ini berjalan.
Ia dimulakan dari Proton Centre of Excellence (COE) dan terus menghala ke arah Selatan dan melakukan hentian pertama di Muzium Minangkabau, Negeri Sembilan. Ia seterusnya meneruskan perjalanan ke bangunan bersejarah A’Famosa, Melaka dan turut singgah di tempat-tempat makan yang menarik dan popular di setiap negeri.
“Jelajah e.MAS7 bukan sahaja mempamerkan keupayaan dan ciri-ciri baharu EV kami tetapi juga meningkatkan interaksi bersama dengan komuniti tempatan.
“Maklum balas positif yang kami terima daripada orang ramai mengenai keluasan dalaman kereta ini dan reka bentuknya yang unggul walaupun dipamerkan dalam corak pelekat pembalut kereta menekankan potensi e.MAS7 dalam menetapkan piawaian baharu dalam pasaran EV,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
Kini, jelajah Proton e.MAS7 akan diteruskan ke negeri-negeri di Utara seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Orang ramai yang berminat untuk menyaksikan sendiri Proton e.MAS7 di setiap negeri tersebut, boleh mengikuti saluran media sosial mereka untuk dapatkan lokasi dan waktu persinggahan.