WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), sebuah anak syarikat sepenuhnya oleh Warisan TC Holdings Bhd, telah melancarkan varian baharu untuk model GAC GS3 Emzoom mereka iaitu varian Standard. Selain itu, varian Exclusive turut diperkenalkan kembali sebagai model CKD semalam.
Model SUV kompak ini kini bermula pada harga RM103,800 bagi varian Standard, RM116,800 bagi varian Exclusive (CKD) dan varian Premium masih dikekalkan pada harga RM126,800.
Dengan kapasiti enjin 4-silinder turbo 1.5 liter, GS3 EMZOOM ini mampu menghasilkan 270 Nm pada 4,500 rpm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 177 Ps pada 5500 rpm. Penggunaan bahan api bagi model ini adalah 5.9 liter/100 kilometer. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 8.0 saat.
Spesifikasi penuh model ini termasuk lampu utama LED yang boleh diselaraskan ketinggiannya, lampu DRL LED, pemegang pintu boleh lipat secara elektrik, stereng yang boleh dilaraskan ke hadapan dan belakang, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, serta skrin sentuh infotainmen 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android tanpa wayar.
Perbezaan bagi varian Standard dan yang lain adalah tiada ventilasi udara belakang, lampu membaca belakang, port USB, dan kamera pandangan sekeliling (hanya disertakan kamera undur sahaja). Bahagian dalamannya pula dilengkapi dengan penyaman udara manual, stereng urethane, kerusi fabrik, dua pembesar suara, dail analog, dan kawalan jelajah biasa.
Bagi sistem keselamatan pula, varian Standard dilengkapi dengan ABS, EBD, ESP, dan dua beg udara hadapan. Model Exclusive mempunyai empat beg udara, manakala Premium-R mempunyai enam. Ciri bantuan pemanduan lanjutan (ADAS) hanya terdapat pada model yang lebih tinggi. Kedua-dua versi Standard dan Exclusive mempunyai roda aloi 18 inci dengan tayar 225/55.
Pilihan warna untuk Standard termasuk Frost White dan Asphalt Black, manakala Exclusive menambah warna Salt Lake Blue dan Superstar Silver. Premium-R menawarkan kesemua empat warna serta Graphite Grey, yang eksklusif untuk pasaran Malaysia.
GAC GS3 Emzoom 2024 disertakan dengan jaminan 5 tahun/150,000 km, dan 2,000 pelanggan pertama akan menerima jaminan tambahan 7 tahun/180,000 km untuk enjin dan transmisi.
Dengan lebih daripada 20 bilik pameran dan pusat servis GAC di seluruh negara, WTCA menyambut projek CKD pertama GAC dengan menawarkan rebat tunai RM5,000 dan RM7,000 untuk model Exclusive dan Premium-R masing-masing, sehingga akhir tahun ini.
Terdapat juga pilihan untuk menggabungkan pakej penyelenggaraan percuma dan kunci jam tangan pintar, bernilai RM1,388, sebagai ganti kepada rebat tunai yang lebih rendah.