Anak syarikat kepada Proton, Pro-Net, telah mendedahkan ruang kabin dalaman Proton e.MAS7 kepada orang ramai ketika Auto Car Expo (ACE) 2024 berlangsung pada hujung minggu lepas.
Selain itu, Pro-Net turut mendedahkan harga anggaran bagi model ini iaitu RM120,000 dan turut menawarkan Pioneer Privilege Deal kepada pelanggan yang membuat tempahan bermula 26 Oktober sehingga ke pelancaran rasminya pada hujung tahun ini.
Model ini berukuran 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm. Dua varian akan ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu Prime dan Premium.
Untuk kedua-dua varian, ia dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) yang mampu menghasilkan 160 kW dan 320 Nm tork. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 6.9 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 175 km/j.
Bagi varian Prime, jarak sejauh 345 km (WLTP) boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 49.52 kWh manakala untuk varian Premium, jarak sejauh 410 km (WLTP) boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 60.22 kWh.
Bagi pengecasannya, varian Prime menerima sistem pengecas pantas DC berkapasiti 80 kW manakala varian Premium menerima 100 kW. Ia boleh mencapai status pengecasan 30% hingga 80% dalam masa 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.
Untuk rekaan luaran, e.MAS7 masih lagi dibalut dengan pelekat penyamaran namun seperti yang kita semua ketahui, e.MAS7 ini dibangunkan dengan hasil kerjasama di antara Proton dan Geely melalui kembarnya, Geely Galaxy E5. Dapat dilihat dengan jelas bahawa ia menampilkan rupa yang sama dengan Galaxy E5 tetapi mempunyai logo Proton e.MAS pada gril hadapan beserta tulisan yang bertulis Proton dan e.MAS7 di bahagian belakang.
Varian Premium pula menerima tambahan perincian seperti bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa dan juga penutup gril hadapan aktif.
Seperti yang telah didedahkan oleh Proton e.MAS, bahagian kabin dalaman juga dilihat sama seperti Galaxy E5, tetapi dalam versi RHD. Di bahagian hadapan, e.MAS7 menerima skrin infotainment bersaiz 15.5 inci, paparan instrumen pemandu dengan skrin bersaiz 10.2 inci dan juga ruang konsol tengah yang direka berorientasikan pemandu. Stereng juga diberikan rekaan yang baru beserta lampu ambient yang mengikut rentak muzik.
Selain itu, e.MAS7 turut akan menerima sambungan Apple CarPlay dan Android Auto bersama dengan pengecas telefon tanpa wayar. Proton juga telah mengumumkan bahawa skrin utama di tengah papan pemuka tersebut menampilkan paparan resolusi 2.5k yang beroperasi dengan Flyme OS.
Bagi sistem keselamatan pula, ia dilengkapi dengan 6 beg udara dan Level 2 Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang terdiri daripada brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sokongan brek dinamik, amaran dan pengelak keluar lorong dan juga bantuan pengekal lorong kecemasan.
5 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Gray, Quartz Rose dan Lithium White dengan Indigo Blue sebagai warna dalaman. Pelanggan yang ingin menempah boleh mula membuat tempahan dengan hanya sebanyak RM500 untuk wang tempahan.
Di bawah Pioneer Privilege Deal, pelanggan yang membuat tempahan bermula 26 Oktober sehingga ke pelancaran rasminya pada hujung tahun ini akan menerima diskaun sebanyak RM500 dan juga pakej hadiah bernilai RM1,000.
Proton turut melancarkan aplikasi e.MAS di mana aplikasi ini membantu para pelanggan untuk membuat tempahan dengan mudah secara atas talian sehinggalah telah menerima kenderaan yang ditempah. Ia turut berguna kepada pemilik untuk memantau kereta, mencari stesen pengecasan, membuat pengecasan dan pelbagai lagi.