Proton telah mempamerkan beberapa model yang menarik untuk pengunjung sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Antaranya adalah EV pertama mereka, e.MAS7, Proton S70 Konsep, Proton S70 R3 yang digunakan sewaktu perlumbaan Sepang 1000km (S1K) tempoh hari, Proton x50 Sport Edition (SE) dan tidak dilupakan model-model semasa mereka.
Yang menjadi penarik pada pameran kali ini adalah e.MAS7 kerana ini adalah pameran awam terakhir sebelum model ini dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember ini. Walau bagaimanapun, e.MAS7 masih lagi di dalam pelekat penyamaran. Apa yang boleh dilihat setakat ini adalah bahagian dalaman serta sedikit sebanyak spesifikasi model tersebut. Sama-sama kita nantikan wajah sebenar Proton e.MAS7 sewaktu pelancaran rasminya.
Selain itu, mereka turut mempamerkan Proton S70 yang berkonsepkan Bumblebee. Dengan warna kuningnya yang memukau, sudah semestinya akan menarik perhatian peminat automotif yang gemar memasang aksesori dan bodykit tambahan untuk mencantikkan lagi kenderaan mereka.
Para pengunjung juga boleh melihat Proton S70 R3 yang digunakan dalam perlumbaan S1k serta dapat bertemu dengan pemandu-pemandu S70 R3 pada hujung minggu ini untuk bertanyakan soalan dan sesi bergambar bersama peminat dan kereta tersebut.
Model prestasi kedua adalah model konsep Proton X50 SE. Model ini adalah kajian reka bentuk untuk mempamerkan kehebatan model SUV terlaris Proton. Penampilannya di KLIMS 2024 bertujuan untuk mendapatkan respons pengunjung yang boleh memberi idea bagi model-model masa depan yang mungkin akan mengikuti arah gaya serupa.
“KLIMS 2024 adalah pentas yang terbaik untuk mempamerkan kemajuan terkini kami, daripada kemunculan EV pertama Proton yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri nanti, kepada peluang untuk merasai keterujaan kereta lumba R3 kami, serta pameran konsep sporty terkini berdasarkan model Proton X50 2024, terdapat pelbagai benda yang boleh dinantikan oleh setiap peminat kereta,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Orang ramai boleh hadir ke booth Proton di KLIMS 2024 bermula 5 hingga 11 Disember ini di MITEC, Kuala Lumpur untuk dapatkan promosi eksklusif yang hanya ditawarkan di KLIMS.