GR Yaris, GR Corolla dan Corolla GR Sport 2025 Dilancarkan di Malaysia: Harga Bermula RM150,000 – RM367,000

UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah memperkenalkan tiga model baharu yang menarik ke dalam pasaran Malaysia iaitu GR Yaris 2025, GR Corolla dan Corolla GR Sport semasa penutupan Musim Ke-7 Toyota Gazoo Racing.

GR Yaris 2025 adalah kereta kompak berprestasi tinggi yang direka dengan kejuruteraan berinspirasikan rali. Ia dilengkapi enjin turbo 1.6-liter yang mampu menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork, dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan untuk pengalaman pemanduan yang mengasyikkan.

Sistem GR-Four AWD yang diilhamkan daripada warisan rali Toyota memastikan cengkaman dan kawalan yang unggul. Sistem penyejukan canggih, suspensi yang dipertingkatkan, dan penambahbaikan aerodinamik seperti reka bentuk Functional MATRIX Ver.2 menyumbang kepada prestasi luar biasanya.

Bahagian dalaman menawarkan kokpit berpusatkan pemandu dengan paparan GR Full TFT 12.3 inci, butiran beraksen merah, dan posisi pemanduan yang sporty. Empat warna telah ditawarkan, termasuk warna baharu Precious Metal, dengan harga bermula dari RM315,600.

GR Corolla 2025 menetapkan standard baharu untuk hatchback berprestasi tinggi dengan enjin turbo 1.6-liter yang menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork. Dipadankan secara eksklusif bersama transmisi manual 6-kelajuan, ia menawarkan pengalaman pemanduan yang mendalam.

Sistem GR-Four AWD menyesuaikan tork secara dinamik untuk pengendalian optimum, sama ada di selekoh sempit atau jalan lurus. Reka bentuk aerodinamik kereta ini termasuk pengambilan udara yang lebih besar, bampar yang diukir, dan ekzos tiga khas GR, memberikan rupa berani berinspirasikan rali.

Bahagian dalamannya menggabungkan fungsi dan gaya dengan tempat duduk yang disesuaikan untuk rali, trim logam kelabu, dan paparan digital yang menunjukkan data prestasi masa nyata. Tersedia dalam warna-warna menarik seperti Emotional Red 2 dan Precious Metal, GR Corolla bermula dari RM367,000.

Corolla GR Sport 2025 menawarkan gabungan gaya sporty dan juga boleh dibawa secara harian. Ia dilengkapi dengan enjin 1.8-liter bersama CVT 10-kelajuan yang memberikan pecutan lancar dan penukaran gear yang responsif. Reka bentuknya yang menarik menampilkan skema warna dua nada, gril khusus GR, aksen aerodinamik, dan roda aloi 18-inci.

Bahagian dalaman menampilkan tempat duduk premium suede dan kulit, stereng berjenama GR, dan ciri canggih seperti sistem audio definisi tinggi 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Toyota Safety Sense (TSS) dilengkapi sebagai standard, menawarkan ciri keselamatan seperti sistem pra-pelanggaran dan dynamic radar cruise control. Bermula dari RM149,800, Corolla GR Sport ditawarkan dalam pilihan dua warna yang bergaya seperti Red Mica Metallic dengan bumbung hitam.

Pelanggan yang berminat boleh layari laman web www.toyota.com.my untuk melihat dan membuat tempahan tiga model ini iaitu GR Yaris, GR Corolla dan Corolla GR Sport.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD