NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Volvo XC90 Facelift 2025 Dilancar di Malaysia – Harga Bermula RM419k, 2 Varian, Mild Hybrid dan PHEV

Volvo XC90 Facelift 2025 Dilancar di Malaysia – Harga Bermula RM419k, 2 Varian, Mild Hybrid dan PHEV

Selain Volvo EX90, Volvo Cars Malaysia turut melancarkan Volvo XC90 facelift 2025 ke dalam pasaran Malaysia. 2 varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia pada harga RM418,888 (on-the-road tanpa insurans) untuk varian Ultra B5 Mild Hybrid dan RM434,888 (on-the-road tanpa insurans) untuk varian Ultra T8 PHEV.

Model ini berukuran 4,953 mm panjang, 1,931 mm lebar, 1,771 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,984 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 302 liter dan meningkat hingga 680 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dibaringkan.

Bagi varian asas Ultra B5, ia didatangkan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo bersama sistem hibrid ringkas 48-volt dan mampu menghasilkan 250 PS dan 360 Nm tork. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda, pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Bagi varian Ultra T8, ia didatangkan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo bersama supercharger dan mampu menghasilkan 310 PS dan 400 Nm tork. Turut digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, sistem pacuan semua roda dan ditambah dengan motor elektrik berkuasa untuk menggerakkan gandar belakang, menjadikan keseluruhan kuasa SUV ini sebanyak 455 PS. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat.

Rekaan luaran baharu merupakan perubahan utama untuk XC90 generasi baharu. Bahagian hadapan kini tampil dengan grafik pengambilan udara baharu, lampu utama yang lebih langsing, bonet yang dibentuk semula dan bampar serta fender yang diperbaharui, memberikan sentuhan dinamik kepada rekaan abadi yang diinspirasikan oleh cita rasa Scandinavia.

Bahagian dalaman turut diberi nafas baharu dengan papan pemuka yang lebih mendatar dan hiasan premium bertekstur, diapit oleh corong udara menegak baharu. Pencahayaan dalaman yang ditambah baik pula menyumbang kepada suasana yang lebih premium pada waktu malam.

Konsol tengah juga direka menjadi lebih praktikal dengan tambahan pemegang cawan dan ruang simpanan, manakala pengecas telefon tanpa wayar kini dipisahkan daripada ruang utama untuk kemudahan pengguna.

Untuk XC90 Ultra T8, antara muka baharu ini memudahkan peralihan antara kuasa elektrik, enjin pembakaran atau gabungan kedua-duanya menerusi fungsi “Drive Modes” yang kini dipaparkan di skrin utama. Di sini, pemandu boleh mengakses mod seperti “Pure”, “Hybrid” dan “Performance” dengan hanya satu sentuhan.

Volvo XC90 bakal ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) pada permulaan dan kemudian akan dijual dalam versi pemasangan secara tempatan (CKD) yang akan dihasilkan di kilang Volvo, Shah Alam. 4 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Onyx Black, Denim Blue, Crystal White dan Vapour Grey.

Untuk setiap pembelian, pemilik akan menerima waranti selama 5tahun tanpa had perbatuan. Manakala waranti selama 8-tahun/160,000 km akan diberikan untuk bateri sistem PHEV (Varian Ultra T8).

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD