passionately driven

Volvo EX90 Rasmi Dilancarkan ke Dalam Pasaran Malaysia – SUV Elektrik 7-Tempat Duduk, Berharga RM442,888

Volvo EX90 Rasmi Dilancarkan ke Dalam Pasaran Malaysia – SUV Elektrik 7-Tempat Duduk, Berharga RM442,888

Volvo Cars Malaysia secara rasmi telah melancarkan SUV elektrik mereka, Volvo EX90 ke dalam pasaran Malaysia hari ini. Hanya satu varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia pada harga RM442,888 (on-the-road tanpa insurans) untuk varian Ultra Twin.

Model ini berukuran 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 310 liter dan meningkat hingga 655 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

Volvo EX90 Ultra Twin ini dikuasakan oleh dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang dan mampu menghasilkan 517 PS dan 910 Nm tork. Jarak sejauh 623 km boleh dicapai dengan pek bateri jenis Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 111 kWh. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 4.9 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 180 km/j.

Bagi pengecasannya, jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 250 kW, ia boleh mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa 30 minit. Manakala untuk pengecas pantas DC berkapasiti 50 kW memerlukan 92 minit untuk mencapai status pengecasan yang sama.

Untuk rekaan luaran, model ini persis Volvo EX30 tetapi dalam saiz yang lebih besar di mana rekaan lampu hadapan berbentuk T melintang manakala rekaan lampu bahagian belakang berbentuk C. Turut hadir bersama adalah tulisan bertulis Volvo dan nama model di bahagian belakang kereta.

Memasuki ruang dalam, sama seperti model EX30, model ini mengamalkan konsep minimalis dan bersih dari sebarang suis fizikal. Masih mempunyai tuil gear ‘PRND’ dan beberapa butang fizikal penting ada pada stereng serta skrin infotainment bersaiz 14.5 inci dalam keadaan menegak di bahagian tengah.

Selain itu, model ini turut menerima bumbung kaca panoramik, ambient lighting, teknologi keselamatan, bantuan parkir, kamera 360 darjah, kerusi hadapan berkuasa, set rim aloi 21-inci serta sistem audio 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

Volvo EX90 bakal ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) pada permulaan dan kemudian akan dijual dalam versi pemasangan secara tempatan (CKD) yang akan dihasilkan di kilang Volvo, Shah Alam. 4 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Onyx Black, Sand Dune, Crystal White dan Vapour Grey.

Untuk setiap pembelian, pemilik akan menerima waranti selama 5tahun tanpa had perbatuan dan waranti selama 8-tahun tanpa had batuan untuk bateri. 50 pelanggan pertama akan menerima baucar pengecas dinding dan pengadang matahari panoramik bernilai RM5,000 secara percuma.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD