MG Malaysia Pertonton SUV Elektrik Terbaru Mereka, MG S5 – SUV Segmen-B, Anggaran Harga Bermula RM115k

MG Malaysia Pertonton SUV Elektrik Terbaru Mereka, MG S5 – SUV Segmen-B, Anggaran Harga Bermula RM115k

MG Motor Malaysia hari ini mengadakan pra-tonton eksklusif bagi SUV elektrik baharu mereka, MG S5 EV, dengan anggaran harga bermula dari RM115,000. 2 varian akan ditawarkan untuk model ini iaitu varian asas dengan bateri 49 kWj dan varian tertinggi dengan bateri 63 kWj.

Menurut Emory Qifeng, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, MG S5 EV ialah model pertama dalam fasa baharu MG di Malaysia. Selepas pelancaran globalnya di China pada Oktober lalu, model ini dibangunkan khas untuk kegunaan di jalan raya Malaysia dan menetapkan penanda aras baharu dalam segmen EV untuk jenama MG.

Bagi varian asas, ia didatangkan dengan bateri LFP 49 kWj bersama sebuah motor tunggal berkapasiti 125 kW yang mampu menghasilkan 170 PS dan 250 Nm tork. Jarak pemanduan dikatakan boleh mencapai sehingga 340 km (WLTP).

Bagi varian tertinggi, ia menerima bateri LFP 62 kWj, juga digandingkan bersama sebuah motor tunggal dan mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 430 km serta sokongan pengecasan pantas DC 150 kW. Kedua-dua varian ini menggunakan pacuan roda belakang untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan.

Selain prestasi pemanduan, kedua-dua varian dilengkapi dengan pengecasan AC 6.6 kW, fungsi Vehicle-to-Load (V2L), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin kawalan tengah 12.8 inci dengan kawalan suara, paparan instrumen digital 10.25 inci, serta ciri keselamatan lengkap termasuk 7 beg udara dan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS).

Bagi mereka yang mahukan lebih keselesaan, varian tertinggi dilengkapi dengan ciri premium seperti rim aloi 18 inci, bumbung panorama suria , pintu but elektrik, tempat duduk gabungan kulit dan fabrik dengan corak MG, stereng kulit yang boleh dipanaskan, tempat duduk pemandu laras kuasa, 6 pembesar suara premium, lampu bacaan belakang, pengelap cermin automatik, dan kamera pandangan sekeliling 360 darjah.

Model ini bakal ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte. Bahagian dalamnya menampilkan tempat duduk gabungan kulit dan fabrik berwarna gelap.

Model ini akan dilancarkan tak lama lagi dan bakal memberi persaingan hebat kepada EV paling laris di Malaysia, Proton e.MAS7 dan juga BYD Atto 3.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD