passionately driven

Kilang Tayar Continental di Alor Setar Tutup kerana Lokasi Tidak Sesuai?

Kilang Tayar Continental di Alor Setar Tutup kerana Lokasi Tidak Sesuai?

Susulan dengan pengumuman penutupan kilang tayar Continental di Alor Setar, Kedah baru-baru ini, difahamkan keputusan itu dibuat berdasarkan hasil semakan strategik operasi syarikat di peringkat global dan rantau Asia Pasifik, bukan kerana lokasinya yang tidak sesuai.

Menurut EXCO Industri dan Pelaburan negeri, Dr Haim Hilman Abdullah, untuk mengoptimumkan portfolio produk dan penyesuaian kepada perubahan pasaran, keputusan itu telah dibuat oleh syarikat tayar tersebut.

Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membantu pekerja-pekerja yang bakal terjejas melalui program penempatan dan latihan semula sebelum mereka ditempatkan di syarikat sedia ada di Kedah.

“Hari ini, satu pertemuan rasmi diadakan antara kerajaan negeri bersama pihak syarikat dan mereka memaklumkan keputusan dibuat pada 25 April lalu itu hasil semakan strategik operasi peringkat global dan rantau Asia Pasifik.

“Ia bertujuan untuk mengoptimumkan portfolio produk dan penyesuaian kepada perubahan pasaran, bukan kerana lokasi pengeluaran yang tidak sesuai.

“Pihak syarikat juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan dan sokongan kuat yang diberikan sebelum ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Seramai 950 pekerja bakal terjejas di mana 750 pekerja dari bahagian operasi dan selebihnya dari pekerja profesional serta pengurusan.

Pihak Continental juga telah memaklumkan pada kerajaan negeri bahawa mereka telah merangka pelan pampasan adil yang bersesuaian, selain turut menyediakan latihan kemahiran tambahan sepanjang tempoh lapan bulan berbaki bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran pekerja.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan atas pendekatan bertanggungjawab diambil syarikat dalam menjaga kebajikan pekerja.

“Dalam masa sama, kita mengambil langkah proaktif memastikan kebajikan dan masa depan pekerja terus terjaga melalui program penempatan semula oleh Pusat Pembangunan Bakat Kedah (KTDC).

“Mereka akan dilatih semula dan ditempatkan di syarikat sedia ada atau yang baharu dibuka termasuk di syarikat tayar dari China yang akan melabur di Kedah Rubber City (KRC) Padang Terap,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan agar dasar serta insentif pasca pelaburan diwujudkan sebagai tanda penghargaan negara kepada syarikat yang lama melabur dan beroperasi di Malaysia.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD