passionately driven

Alasan Sakit Kepala, Pemandu Hilux Rempuh Tiga Kenderaan di Lampu Merah

Alasan Sakit Kepala, Pemandu Hilux Rempuh Tiga Kenderaan di Lampu Merah

Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mendakwa mengalami sakit kepala secara tiba-tiba sebelum merempuh tiga kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah di Kilometer 19.5, Jalan Ipoh–Kuala Lumpur, di sini pada petang Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 5.20 petang itu, kenderaan jenis Toyota Hilux dilaporkan meluncur laju sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Vios, diikuti oleh Perodua Myvi dan Perodua Axia yang turut berhenti di hadapan lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud, berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan kerosakan serius ke atas kenderaan yang terlibat, antaranya bonet hadapan dan but kemik, lampu pecah, bampar tercabut serta pintu rosak.

“Pemandu Hilux tersebut memaklumkan bahawa dia mengalami sakit kepala secara tiba-tiba ketika kejadian.

Dia kemudiannya terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dijangka membuat laporan polis berhubung insiden ini hari ini (Isnin),” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian itu turut dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) belakang sebuah kenderaan dan video tersebut telah tular di media sosial.

Superintenden Mohamad Nazri menambah, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu hingga menyebabkan kemalangan.

SUMBER : SinarHarian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD