NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Lelaki Terkorban Dalam Perlanggaran Kereta Dan Lori Simen Di JRTB

Lelaki Terkorban Dalam Perlanggaran Kereta Dan Lori Simen Di JRTB

Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan kereta yang dipandunya dengan sebuah lori simen di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) menghala ke Tasik Banding, awal pagi tadi.

Mangsa, dikenal pasti sebagai Anuar Ahmad, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 3.10 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dan lori muatan simen jenis Volvo.
“Ketika pasukan bomba tiba, mangsa didapati tidak sedarkan diri di dalam kereta namun tidak tersepit. Pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketua operasi di lokasi telah menjalankan penilaian awal (size-up) serta menggunakan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat itu melibatkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dan selesai sepenuhnya pada jam 4.40 pagi.

Sumber: Astro Awani

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy