NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

10 Rakyat Malaysia Ditahan Kerana Lumba Haram di Hat Yai

10 Rakyat Malaysia Ditahan Kerana Lumba Haram di Hat Yai

Sepuluh orang rakyat Malaysia berusia antara 21 hingga 25 tahun telah ditahan pihak berkuasa Thailand selepas terlibat dalam aktiviti lumba haram di bandar Hat Yai, wilayah Songkhla. Mereka ditahan kerana memandu secara berbahaya dengan menggunakan kenderaan yang telah diubah suai, sehingga mencetuskan gangguan kepada penduduk tempatan akibat bunyi bising dari ekzos kenderaan.

Kejadian berlaku pada malam Jumaat apabila enam buah kereta berdaftar di Malaysia dikesan memecut laju di sepanjang Jalan Kanchanawanit sambil menghasilkan bunyi kuat yang mengganggu ketenteraman awam. Aduan daripada penduduk tempatan mendorong pihak polis dari Balai Polis Kho Hong, dengan kerjasama polis pelancong dan trafik, melancarkan operasi khas.

Hasil operasi tersebut, keenam-enam pemandu serta kenderaan mereka berjaya ditahan sekitar jam 11 pagi pada 17 Mei 2025. Menurut pihak berkuasa Thailand, kesemua individu terbabit dikenakan empat pertuduhan utama iaitu:

  1. Memandu secara mengganggu aliran lalu lintas,

  2. Pemanduan berbahaya,

  3. Mengubah suai kenderaan tanpa kelulusan, dan

  4. Tidak melengkapkan kenderaan dengan ciri keselamatan yang ditetapkan.

Mereka telah dibawa ke balai polis untuk proses dokumentasi dan dikenakan denda berdasarkan undang-undang jalan raya Thailand. Selain itu, mereka turut menghadiri sesi taklimat khas berkaitan peraturan lalu lintas Thailand dengan bantuan penterjemah demi memastikan kefahaman yang jelas tentang undang-undang negara tersebut.

Dalam sesi tersebut, kumpulan pelancong Malaysia berkenaan melahirkan rasa kesal atas perbuatan mereka dan memohon maaf secara terbuka kepada komuniti Hat Yai. Sebagai tanda penyesalan dan penghormatan, mereka turut membuat isyarat ‘wai’, iaitu simbol hormat dalam budaya Thailand, serta berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Setelah semua urusan perundangan selesai, mereka terus meninggalkan Thailand dan pulang ke tanah air, sekaligus menamatkan lawatan tiga hari mereka ke negara jiran itu.

Ketua Polis Balai Kho Hong, Kolonel Apichat Wannako, mengingatkan para pelancong asing—terutamanya dari Malaysia, Indonesia, dan Singapura—agar lebih peka dan mematuhi undang-undang lalu lintas Thailand. Beliau turut menyeru pengendali pelancongan untuk memainkan peranan dalam memberikan penerangan serta penekanan terhadap aspek pematuhan undang-undang kepada pelanggan mereka sebelum memasuki Thailand.

SUMBER : Khaosod

Hanani Nezam

Memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang Komunikasi Massa dari UiTM, Hanani Nezam adalah seorang penulis automotif gaya hidup yang dinamik. Teras penulisan beliau memfokuskan kepada garapan berita industri permotoran yang segar, pantas, dan relevan untuk komuniti automotif generasi baharu.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy