PROTON terus mengekalkan momentum positif apabila mencatatkan peningkatan jualan selama tiga bulan berturut-turut. Pada Mei 2025, sebanyak 13,328 unit telah berjaya diserahkan kepada pelanggan – merangkumi pasaran domestik, eksport, serta model smart dan Proton e.MAS.
Jumlah ini mencerminkan peningkatan 6.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu. Secara keseluruhan, prestasi jualan dari Mac hingga Mei meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini (Year-To-Date, YTD) sebanyak 61,087 unit.
Anggaran pegangan pasaran PROTON bagi bulan Mei kekal stabil pada 19.2 peratus, berdasarkan jumlah keseluruhan industri (Total Industry Volume, TIV) sekitar 69,495 unit – selari dengan prestasi semasa YTD syarikat.
Segmen SUV terus menjadi penyumbang utama kejayaan PROTON:
Proton X70 mencatatkan lonjakan tertinggi bulan ini, dengan peningkatan 44 peratus, menjual 982 unit, dan melonjakkan jualan YTD sebanyak 53.1 peratus.
Proton X50 kekal mendominasi segmen SUV-B dengan jualan 2,198 unit pada Mei – membawa jumlah YTD kepada 9,704 unit, meningkat 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Proton X90 turut mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 15.5 peratus dengan 224 unit terjual.
Dalam kategori sedan:
Proton Saga kekal sebagai model pilihan utama dengan 5,513 unit didaftarkan pada Mei – peningkatan 5.8 peratus berbanding April.
Proton Persona mencatatkan 1,385 unit (+4.3 peratus).
Proton S70, sedan segmen-C terbaharu, terus menunjukkan prestasi konsisten dengan peningkatan 2.7 peratus, berjumlah 1,763 unit.
Proton Iriz, hatchback segmen-B, meningkat 14.1 peratus dengan 331 unit – mengekalkan kedudukannya antara model hatchback popular negara ini.
Model kenderaan elektrik (EV) pertama PROTON, e.MAS 7, terus mencatat pencapaian positif dalam pasaran tempatan. Pada bulan Mei, model SUV segmen-C tersebut berjaya dijual sebanyak 916 unit, menjadikannya bulan pertama melepasi paras 900 unit sebulan. Jualan terkumpul setakat ini telah mencecah 3,632 unit, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran EV tempatan untuk lima bulan berturut-turut.
Seiring prestasi kukuh di pasaran domestik, PROTON kini memperluas fokusnya ke pasaran antarabangsa melalui pelbagai inisiatif strategik:
Pelancaran model Proton Saga CKD dengan pemanduan sebelah kiri (LHD) untuk pasaran Mesir.
Pengenalan e.MAS 7 di Nepal dan Singapura.
Bermula Jun, e.MAS 7 akan mula dieksport ke Trinidad & Tobago, dengan jualan eksport setakat ini melebihi 233 unit.
Dari segi jumlah eksport keseluruhan:
Proton Saga kekal sebagai model eksport utama dengan 710 unit.
Proton X50 menunjukkan lonjakan luar biasa dengan pertumbuhan eksport sebanyak 360 peratus, kepada 694 unit YTD.
Melalui prestasi konsisten merentas semua segmen, serta pelaksanaan strategi pengembangan eksport yang agresif, PROTON berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan momentumnya sepanjang tahun 2025. Syarikat juga optimis bahawa pelaburan dalam teknologi baharu, termasuk elektrifikasi dan pasaran luar negara, akan terus menjadi pemangkin pertumbuhan masa hadapan.
SUMBER : BeritaHarian