Xiaomi Kerjasama Bersama Gran Turismo, Perkenal Model SU7 Ultra di Gran Turismo 7

Xiaomi Kerjasama Bersama Gran Turismo, Perkenal Model SU7 Ultra di Gran Turismo 7

Xiaomi dan Polyphony Digital telah mengumumkan kerjasama mereka semasa Pusingan Pertama Gran Turismo World Series 2025 dengan memperkenalkan Xiaomi SU7 Ultra dalam permainan lumba terkenal Gran Turismo 7 untuk PlayStation 4 dan 5. Ini merupakan kali pertama model Xiaomi ditampilkan dalam permainan tersebut.

Gran Turismo terkenal sebagai simulator pemanduan paling realistik di dunia. Ia bukan sekadar permainan, malah memberi kesan besar dalam dunia automotif sebenar dengan menggalakkan inovasi dalam prestasi dan keselamatan kenderaan. Kemasukan SU7 Ultra mencerminkan kemajuan kenderaan elektrik pintar berprestasi tinggi dalam industri automotif.

Pada Mei 2025, pencipta Gran Turismo, Kazunori Yamauchi, bertemu dengan Pengasas dan CEO Xiaomi, Lei Jun, di Beijing. Semasa lawatan itu, Yamauchi mencuba SU7 Ultra dan melawat kilang kenderaan elektrik Xiaomi di Yizhuang.

Xiaomi telah mencipta fenomena pada tahun 2024 dengan pelancaran kenderaan elektrik pertamanya, SU7. SU7 Ultra merupakan versi paling hebat, dengan enjin khas HyperEngine V8s yang direka sendiri oleh Xiaomi. Ia boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa kurang daripada 2 saat dan telah memecah beberapa rekod litar untuk kereta empat pintu.

Kereta ini menggunakan komponen gentian karbon ringan dan direka untuk menggabungkan prestasi tinggi dengan kemewahan. Pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Xiaomi telah menguji kereta ini secara intensif di litar seperti Nürburgring bagi memastikan keselamatan dan kawalan dalam dunia sebenar setanding dengan prestasinya di atas kertas.

SU7 Ultra akan dimasukkan ke dalam Gran Turismo 7 melalui proses pembangunan bersama dengan Xiaomi EV, dengan penekanan pada ketepatan reka bentuk dan pengalaman pemanduan. Pada masa akan datang, Xiaomi dan Gran Turismo juga akan bekerjasama mencipta kereta konsep baharu bernama Xiaomi VISION GRAN TURISMO.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD