NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Hyundai Santa Fe 2025 Dilancarkan di Malaysia – 3 Varian, Harga Bermula RM225k – RM270k

Hyundai Santa Fe 2025 Dilancarkan di Malaysia – 3 Varian, Harga Bermula RM225k – RM270k

Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasminya telah melancarkan model Santa Fe 2025, sebuah SUV dengan pilihan 6 atau 7 tempat duduk ke dalam pasaran Malaysia. 3 varian telah ditawarkan dengan harga jualan bermula RM225,000 untuk varian Prime, RM245,000 untuk varian Prestige dan RM270,000 untuk varian Calligraphy.

Model ini berukuran 4,830 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,770 mm tinggi (1,780 mm – Calligraphy) dengan jarak antara roda 2,815 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 628 liter sekiranya tempat duduk barisan ketiga dibaringkan dan meningkat hingga 1,949 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dibaringkan.

Spesifikasi enjin masih kekal sama iaitu 1.6 liter turbo hibrid yang mampu menjana sebanyak 180 PS dan 265 Nm tork. Digandingkan bersama sebuah motor elektrik dan transmisi automatik 6-kelajuan, mampu menjana sebanyak 230 PS dan 350 Nm tork.

Bagi varian Calligraphy, ia menerima enjin baru iaitu 2.5 liter turbo petrol yang mampu menjana sebanyak 281 PS dan 422 Nm tork, digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar 8-kelajuan. Pilihan enjin diesel telah dihentikan sepenuhnya, selari dengan model yang ditawarkan di pasaran global.

Selain enjin hibrid yang masih dikekalkan, model generasi kelima ini tampil dengan rekaan luaran yang serba baharu dan agak unik. Sebelum ini, bentuknya lebih ke arah crossover tetapi untuk model ini, ia kelihatan lebih kotak dan bersegi.

HMY sebelum ini pernah berkongsi bahawa mereka mula mereka dari bahagian belakang terlebih dahulu berbanding bahagian hadapan. Oleh itu, bahagian belakang dilihat sangat luas, ditambah dengan kehadiran lampu depan dan belakang berbentuk H. Bonet juga kelihatan tinggi serta tidak dilupakan rim aloi bersaiz 21-inci.

Untuk bahagian dalam, model ini juga tampil dengan rekaan serba baharu yang lebih premium dan mewah. Butang fizikal untuk mengawal suhu, penghawa dingin, sistem audio dan juga beberapa sistem keselamatan masih kelihatan di ruang tengah. Jika anda mencari tuil gear, ia kini telah berpindah di belakang stereng, sama seperti model Ioniq.

Ruang konsol tengah kini dipenuhi dengan 2 ruang pengecas telefon tanpa wayar, 2 cup holder, 2 glovebox dan slot USB-C. Skrin infotainment juga kini bersambung dengan panel instrumen bersaiz 12.3 inci dalam paparan melengkung.

Beralih ke bahagian penumpang, dengan rekaan barunya yang lebih kotak dan bersegi di bahagian belakang, barisan ketiga penumpang kelihatan lebih selesa dan luas. Terdapat laluan kecil di bahagian tengah untuk penumpang yang ingin ke barisan ketiga.

Ciri keselamatan juga telah dinaiktaraf dengan ciri bantuan pemandu terkini, termasuk brek kecemasan automatik generasi kedua, bantuan mengelak pelanggaran, pemantau titik buta, dan kawalan jelajah adaptif.

Model ini bakal ditawarkan dalam 4 pilihan warna iaitu Abyss Black Pearl, Creamy White Pearl, Ecotronic Gray Pearl dan Ocado Green Pearl. Calligraphy menerima Earthy Brass Matte sebagai pilihan warna tambahan. Bahagian dalamnya menampilkan tempat duduk berwarna putih dan coklat.

Jaminan 8 tahun/160,000 km diberikan untuk kenderaan dan istimewa untuk 100 pelanggan pertama, 8 kali servis percuma akan diberikan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD