Tempahan Honda HR-V Facelift 2025 Dibuka – Bakal Lancar Suku Ketiga 2025

Tempahan Honda HR-V Facelift 2025 Dibuka – Bakal Lancar Suku Ketiga 2025

Honda Malaysia kini membuka tempahan untuk Honda HR-V Baharu di semua pengedar sah Honda di seluruh negara dan juga melalui platform dalam talian. SUV ini dijangka bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun 2025.

Sejak dilancarkan di Malaysia pada tahun 2015, HR-V telah memberi kesan besar dalam pasaran SUV dan kini merupakan SUV segmen B bukan nasional yang paling laris.

Sehingga Mei 2025, lebih 169,000 unit telah dijual. Ia diminati oleh pemandu di kawasan bandar dan pinggir bandar. Sepanjang tempoh ini, HR-V telah menetapkan penanda aras dalam reka bentuk dan keselesaan SUV segmen B. Gabungan gaya moden, ruang dalaman yang luas dan prestasi yang dipercayai menjadikannya pilihan ramai rakyat Malaysia.

Model HR-V Baharu mengekalkan daya tarikannya dengan reka bentuk yang lebih segar dan moden. Varian HR-V e:HEV RS hadir dengan gril hadapan yang ringkas, rim aloi dua tona 18 inci yang bergaya serta jalur lampu belakang LED penuh.

Teknologi hibrid e:HEV bukan sahaja menjimatkan penggunaan bahan api, tetapi juga memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dan responsif. Enjin 1.5L e:HEV menghasilkan 131 PS dan 253 Nm tork untuk pecutan yang lancar. Ia turut menawarkan tiga mod pemanduan – Econ, Normal, dan Sport – mengikut keadaan jalan dan pilihan pemandu.

Bagi yang mahukan prestasi lebih bertenaga, HR-V turut menawarkan enjin 1.5L VTEC Turbo yang menghasilkan 181 PS dan 240 Nm tork untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan. Satu lagi pilihan ialah enjin 1.5L i-VTEC dengan 121 PS dan 145 Nm tork untuk pemanduan yang lancar dan menjimatkan.

Ciri keselamatan masih menjadi keutamaan melalui sistem Honda SENSING yang merangkumi pelbagai teknologi bantuan pemandu pintar. Kini ia turut dipertingkatkan dengan fungsi Adaptive Driving Beam dan Active Cornering Light, menjadikan HR-V lebih selamat dan canggih.

HR-V Baharu kini ditawarkan dalam dua warna menarik – Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl – memberikan lebih banyak pilihan bergaya mengikut citarasa pelanggan.

Honda masih belum mendedahkan anggaran harga atau pun tanda harga yang akan diletakkan untuk model Honda HR-V Baharu ini. Sama-sama kita nantikan semasa pelancaran rasminya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD