Proton Lancar Sistem Pengecaman Suara Bahasa Melayu Pertama di Dunia

Proton Lancar Sistem Pengecaman Suara Bahasa Melayu Pertama di Dunia

Proton mencipta sejarah apabila menjadi pengeluar kereta pertama di dunia yang menawarkan sistem pengecaman suara dalam Bahasa Melayu. Ciri ini diperkenalkan dalam model terbaru mereka, All-New Proton X50, sebagai naik taraf kepada sistem “Hi Proton” versi Bahasa Inggeris yang mula diperkenalkan tujuh tahun lalu.

All-New X50 kini dilengkapi dengan skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci yang menyokong arahan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, menjadikan Proton syarikat pertama menawarkan fungsi arahan suara dwibahasa dalam industri automotif.

Sistem ini diberi nama Aisyah, satu watak wanita yang mesra dan mudah diingati dan dibangunkan hanya dalam masa 7 bulan (dari Oktober 2024 hingga Mei 2025), lebih cepat daripada perancangan asal selama setahun. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 4,000 arahan suara dalam Bahasa Melayu dan 4,000 dalam Bahasa Inggeris telah dikumpul.

Projek ini melibatkan lebih 336,000 jam kerja hasil kerjasama dengan ACO Tech, syarikat usaha sama Proton yang fokus kepada mobiliti pintar. Lebih 200 rakaman suara penutur Bahasa Melayu (lelaki dan wanita) telah dibuat untuk memastikan sistem dapat memahami pelbagai sebutan dan cara bercakap harian seperti “buka tingkap” dan “bukakan tingkap”.

Perjalanan Proton dalam teknologi arahan suara bermula pada tahun 2018 melalui sistem infotainmen GKUI dalam model X70. Pada tahun 2022, X50 menjadi kereta pertama di Malaysia yang menggunakan sistem ATLAS dengan pengecaman suara dalam Bahasa Inggeris tempatan.

Sistem ini membolehkan pemandu mengawal fungsi seperti membuat panggilan, mendengar muzik, navigasi, membuka tingkap, sunroof dan penyaman udara tanpa perlu mengalihkan tangan atau mata dari pemanduan.

Kini, penggunaan arahan suara di kalangan pengguna Proton amat meluas. Data dalaman untuk Jun 2025 menunjukkan perkataan “Hello” menjadi yang paling kerap digunakan dengan 43,896 arahan, diikuti dengan “What” (seperti “What is the weather like today”) dan “Call”, dengan jumlah transaksi bulanan mencecah 2.8 juta daripada 228,046 pengguna aktif.

Sistem ini akan terus dipertingkat melalui kemas kini over-the-air (OTA), yang membolehkan ia belajar dan memahami lebih banyak ayat semula jadi seperti “saya nak tengok langit” untuk membuka sunroof. Buat masa ini, sistem ini lebih sesuai dengan suara wanita, namun pasukan pembangunan sedang mengusahakan sokongan untuk suara lelaki serta meneroka penambahan bahasa dan dialek lain pada masa depan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD