NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tesla Kurangkan Kebergantungan kepada China, Pilih LGES Sebagai Pembekal Bateri

Tesla Kurangkan Kebergantungan kepada China, Pilih LGES Sebagai Pembekal Bateri

Syarikat Korea Selatan, LG Energy Solution (LGES), telah menandatangani perjanjian bernilai AS$4.3 bilion untuk membekalkan bateri kepada Tesla bagi sistem penyimpanan tenaga, lapor Reuters.

Menurut sumber, bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) itu akan dikeluarkan di kilang LGES di Michigan, Amerika Syarikat, bagi membantu Tesla mengurangkan kebergantungan terhadap import dari China yang kini dikenakan tarif lebih tinggi.

LGES sebelum ini mengumumkan kontrak pembekalan LFP selama tiga tahun ke seluruh dunia, tetapi tidak menyatakan siapa pelanggannya. Mereka juga tidak memaklumkan sama ada bateri itu akan digunakan untuk kenderaan atau sistem penyimpanan tenaga. LGES berkata mereka tidak boleh mendedahkan identiti pelanggan kerana terikat dengan perjanjian kerahsiaan. Tesla juga belum memberi sebarang komen.

Kini, Tesla masih mengimport bateri LFP dari China, tetapi menurut penganalisis kanan dari Samsung Securities, Cho Hyun-ryul, tarif yang semakin tinggi menyukarkan syarikat-syarikat AS untuk terus berbuat demikian. CFO Tesla, Vaibhav Taneja, menyatakan pada April lalu bahawa mereka sedang mencari pembekal bateri dari luar China bagi sektor penyimpanan tenaga, namun ia akan mengambil masa.

Perjanjian ini dibuat ketika banyak negara dan syarikat sedang berlumba-lumba berunding mengenai tarif dengan Amerika Syarikat. Ia juga diumumkan tidak lama selepas Samsung dan Tesla memeterai perjanjian bekalan cip bernilai AS$16.5 bilion.

LGES adalah antara sedikit syarikat yang menghasilkan bateri LFP di Amerika Syarikat, memandangkan pasaran ini selama ini dikuasai oleh pesaing dari China. Kilang LGES di Michigan mula menghasilkan bateri LFP pada bulan Mei. Syarikat itu turut mempertimbangkan untuk menukar sebahagian daripada pengeluaran bateri EV mereka kepada sistem penyimpanan tenaga, kerana permintaan terhadap kenderaan elektrik kini semakin perlahan.

Kontrak ini akan berlangsung dari Ogos 2027 hingga Julai 2030, dengan pilihan untuk dilanjutkan sehingga tujuh tahun serta penambahan jumlah bekalan berdasarkan perbincangan dengan pelanggan. LGES turut memberi amaran bahawa permintaan bateri EV mungkin terus menurun sehingga awal tahun hadapan akibat tarif dan ketidaktentuan dasar di AS, walaupun keuntungan suku tahunan syarikat meningkat.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy