Empat syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mencatatkan kerugian bagi tahun kewangan 2023.
Antara syarikat terlibat ialah Prasarana Sdn Bhd, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).
Menurut Kementerian Kewangan, kerugian itu berpunca daripada pelaksanaan projek infrastruktur awam, khususnya dalam sektor pengangkutan rel dan pembinaan jambatan.
“Ia melibatkan kos untuk mengekalkan perkhidmatan awam seperti memastikan kadar tambang kekal berpatutan,” jelas kementerian dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 25 Ogos.
Kementerian turut menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah MOF Inc bukanlah berasaskan keuntungan semata-mata, sebaliknya diwujudkan untuk melaksanakan mandat kerajaan.
Antaranya termasuk menyediakan perkhidmatan awam, memenuhi tanggungjawab sosial seperti pengangkutan, bekalan air, elektrik dan sistem kumbahan, selain menyokong pembangunan ekonomi dengan membantu industri baharu yang memerlukan modal besar pada peringkat awal.
Syarikat-syarikat ini juga memainkan peranan dalam memacu kemajuan teknologi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), menarik pelabur tempatan serta asing dalam sektor bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), nanoteknologi dan teknologi maklumat, mengisi ruang pasaran yang tidak diceburi pihak swasta serta memastikan kepentingan strategik kerajaan terpelihara.
Sementara itu, antara syarikat MOF Inc yang mencatatkan keuntungan termasuk Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd dan SIRIM Bhd.
“Sebagai pemegang saham terbesar, MOF Inc sentiasa memperkukuh pemantauan terhadap prestasi kewangan dan tadbir urus syarikat supaya operasi mereka selaras dengan objektif asal serta mandat kerajaan,” kata kementerian.
Antara langkah yang diambil termasuk mewajibkan pembentangan pelan perniagaan tahunan, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), laporan suku tahunan mengenai pencapaian KPI serta laporan audit.
Bagi syarikat yang gagal mencapai sekurang-kurangnya 80% sasaran KPI tahunan, MOF Inc akan mengadakan mesyuarat di bawah Program Penambahbaikan Korporat (CIP) bagi mengenal pasti punca masalah serta membincangkan langkah penstrukturan.
Syarikat yang tidak mencapai sasaran KPI turut diwajibkan mengemukakan penjelasan terperinci serta pelan tindakan untuk meningkatkan prestasi dan kedudukan kewangan.
Jawapan itu diberikan susulan pertanyaan Lim Lip Eng (PH–Kepong) berhubung 20 GLC yang merekodkan kerugian tertinggi serta langkah kerajaan untuk mengurangkan kerugian tersebut. – The Star
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?