TQ WULING Meriahkan Keretapi Sarong 2025 dengan Kehadiran Bingo EV

TQ WULING Meriahkan Keretapi Sarong 2025 dengan Kehadiran Bingo EV

Warna-warni budaya Malaysia bakal kembali menyerikan pentas utama melalui acara tahunan Keretapi Sarong 2025 yang akan berlangsung pada 13 September ini. Tahun ini, TQ WULING turut serta dalam sambutan bersemangat ini yang mengangkat perpaduan rakyat Malaysia sempena Hari Malaysia.

Acara unik ini mengajak ribuan rakyat berhimpun dengan mengenakan sarong serta busana tradisional sambil menaiki tren bersama. Seiring dengan itu, TQ WULING akan memperkenalkan model terbaharunya, Bingo EV, yang akan dipasang secara tempatan di Malaysia.

Bakal dilancarkan pada suku keempat 2025, Bingo EV bakal menjadi model pertama TQ WULING yang menampilkan teknologi moden, prestasi cekap serta mesra alam tanpa pelepasan karbon.

Tahun ini, perjalanan Keretapi Sarong akan bermula serentak di 10 stesen tren yang akan diumumkan kelak, manakala pasukan TQ WULING akan memulakan perjalanan dari LRT Subang Jaya. Lokasi terakhir yang masih dirahsiakan akan menjadi pentas utama pameran Bingo EV, lengkap dengan pelbagai aktiviti menarik di tapak acara.

“Kami teruja untuk menyertai acara ikonik Keretapi Sarong kerana ia memberi peluang untuk mendekati rakyat Malaysia sambil memperkenalkan Bingo EV sebagai masa depan pengangkutan bandar. Penglibatan ini melambangkan keyakinan kami terhadap mobiliti yang bukan sahaja berpaksikan teknologi dan inovasi, malah turut meraikan budaya serta semangat kebersamaan negara,” kata Wan Wei Sun, Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd.

Untuk makluman, Wuling Bingo EV pertama kali diperkenalkan di China pada April 2023 dan telah dilancarkan di Indonesia pada Disember tahun yang sama, sebagai Wuling Binguo EV.

Sekiranya dilancarkan, model ini bakal menjadi saingan kepada EV pertama dari Perodua yang bakal dilancarkan pada Disember ini dan adik kepada Proton e.MAS 7, Proton e.MAS 5 yang juga bakal dilancarkan tak lama lagi.

Tan Chong merancang untuk menetapkan harganya di bawah RM100,000 bagi menjadikannya lebih mampu milik, selaras dengan usaha negara untuk menggalakkan pengangkutan lestari.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD