100,000 Kenderaan Layak Terima Subsidi Petrol RON95 di Bawah SKPS

Kira-kira 100,000 kenderaan milik syarikat pengangkutan barangan dan pengangkutan awam darat di seluruh negara dikenal pasti layak menerima subsidi petrol RON95 menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, anggaran itu diperoleh hasil integrasi data SKPS dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun, beliau mendedahkan jumlah pendaftaran masih rendah walaupun sistem telah dibuka sejak Isnin lalu. Setakat ini hanya 355 kenderaan daripada 154 syarikat mendaftar yang terdiri daripada 240 kenderaan (70 syarikat) sektor pengangkutan awam darat dan 95 kenderaan (84 syarikat) sektor pengangkutan barangan.

“Walaupun tiada tarikh tutup, saya gesa semua syarikat yang layak segera mendaftar supaya mereka boleh menerima manfaat subsidi sejak hari pertama pelaksanaan,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Lok Kawi Height di Kinarut.

Armizan turut menjelaskan, selepas pendaftaran SKPS selesai, syarikat yang layak perlu memohon fleet card daripada tiga syarikat minyak yang ditetapkan.

“Kita harap semua kenderaan pengangkutan awam darat dan barangan memanfaatkan subsidi RON95 ini kerana mereka memberi perkhidmatan kepada pengguna. Kemudahan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kesan beban kos kepada orang ramai,” jelasnya. – Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD