Tiga lelaki ditahan semalam selepas pihak berkuasa menemui bangkai seekor harimau belang yang dipercayai diburu secara haram di dalam sebuah kereta di Felda Tenggaroh, Johor.
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, operasi bersepadu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor itu dilancarkan hasil maklumat awam.
Komander FRU, SAC Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan terhadap sebuah Perodua Alza menemukan bangkai harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) serta beberapa barangan lain.
“Harimau belang adalah khazanah negara yang tidak ternilai. Kehilangannya kerana kerakusan manusia merupakan pengkhianatan terhadap warisan bangsa.
“FRU akan terus berganding bahu dengan agensi lain untuk mempertahankan khazanah negara dan membanteras pemburuan haram demi kelestarian alam serta generasi akan datang,” katanya.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa merampas bangkai harimau, sebuah Perodua Alza dan empat telefon bimbit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM294,007.
Siasatan awal mendapati harimau berkenaan cedera parah akibat jerat dan turut mengalami enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian.
Kesemua suspek berusia 28 hingga 49 tahun kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 70 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa permit khas.
Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin ketika dihubungi berkata, siasatan sedang dijalankan dan pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan. – Bernama