Video Tular Kereta Polis Langgar Lampu Merah, PDRM Sahkan Tindakan Akan Diambil

Polis sudah mengenal pasti anggota yang terlibat dalam insiden sebuah kereta peronda didakwa melanggar lampu isyarat merah di Seremban, baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku di persimpangan NSK, Jalan Haruan 2 sekitar jam 12.20 tengah malam pada 16 September lalu, sebelum tular di media sosial selepas dirakam pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata pihaknya sudah membuka siasatan berhubung video tersebut.

“Polis mengesahkan siasatan sedang berjalan dan keadaan sebenar kejadian telah dikenalpasti. Selepas siasatan selesai, tindakan dalaman akan diambil terhadap anggota yang terlibat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap pegawai dan anggota polis masih tertakluk kepada undang-undang jalan raya, kecuali ketika berhadapan tugasan kecemasan yang memerlukan tindakan segera demi keselamatan serta kelancaran operasi.

Jelasnya lagi, sekiranya siasatan membuktikan berlaku pelanggaran prosedur, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kekeliruan.

“Dapatkan maklumat hanya melalui saluran rasmi PDRM dan elakkan menularkan spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” tambahnya.

Sebelum ini, rakaman video menunjukkan sebuah kereta polis hampir melanggar pengguna jalan raya lain di persimpangan lampu merah. Namun, pemandu awam sempat membrek bagi mengelakkan kemalangan. – Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD