Volvo Car Malaysia memperkenalkan varian single motor untuk model elektrik sepenuhnya Volvo EC40 bagi tahun 2026, dengan tanda harga sebanyak RM248,888 (atas jalan tanpa insurans), RM40,000 lebih rendah berbanding varian twin motor sedia ada.
Varian ini hadir dengan trim tertinggi Ultra, dipacu motor elektrik magnet kekal generasi kedua yang dibangunkan Volvo dengan kuasa maksimum 175 kW (238 hp). Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.3 saat.
EC40 single motor menggunakan bateri voltan tinggi 70kWh dengan jarak pemanduan sehingga 488 km (kitaran WLTP). Pengecasan pantas DC pula membolehkan bateri dicas 10% hingga 80% hanya dalam 26 minit.
Bagi pilihan warna, EC40 kini hadir dengan warna baharu Sand Dune yang diinspirasikan daripada bukit pasir di pesisir pantai barat Sweden, selain warna klasik Aurora Silver, Onyx Black dan Crystal White.

Bahagian dalam menampilkan kabin premium mesra alam tanpa kulit, menggunakan kombinasi Charcoal Connect suede textile dan Charcoal Microtech. Rekaan papan pemuka serta panel pintu turut dikemas kini dengan hiasan Cutting Edge untuk gaya lebih moden.
EC40 generasi baharu ini turut dilengkapi sistem antaramuka (UI) terkini Volvo yang pertama kali diperkenalkan pada EX30. Antara muka baharu ini menawarkan kawalan lebih mudah dengan akses pantas ke fungsi utama, dipaparkan pada skrin tengah 9 inci berasaskan Google dan paparan pemandu digital 12.3 inci.
“Sebagai model BEV kedua Volvo di Malaysia dan crossover elektrik pertama kami, EC40 mendapat sambutan baik sejak dilancar. Dengan adanya pilihan single motor dan twin motor, kami kini dapat memenuhi lebih banyak keperluan pelanggan,” kata Pengarah Jualan Volvo Car Malaysia, Chris Tan.
Dari segi reka bentuk, EC40 mengekalkan imej sporty dengan ketinggian SUV kompak untuk visibiliti jalan lebih baik, rim besar dengan lengkuk berotot, bumbung condong dan lampu belakang unik berbentuk swooping.

Seperti semua model Volvo, EC40 dilengkapi teknologi keselamatan penuh Safe Space Technology termasuk sistem bantuan pemandu lanjutan, teknologi elak perlanggaran, serta struktur badan diperkukuh bagi melindungi penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Sebagai tawaran pelancaran, pelanggan varian single motor EC40 akan menerima insurans percuma tahun pertama bernilai RM5,600 serta baucar pengecas dinding bernilai RM5,000 untuk masa terhad.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?